PEKAN: Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah semalam, menzahirkan keprihatinan baginda kepada nasib bekas tentera dengan mencemar duli menziarah dua pesara tentera di daerah ini semalam, sempena Hari Pahlawan baru-baru ini.
Seri Paduka yang berkenan memandu sendiri kenderaan baginda, turut meluangkan masa bertanya khabar kepada Nazeri Mohamed Zin, 64, apabila melihat keadaan pesara tentera itu yang terlantar di ruang tamu rumahnya di Kampung Pasir Panjang di sini, akibat serangan angin ahmar sejak 13 Julai 2012.
Isteri Nazeri, Noorhan Abd Rahim, 59, yang menjunjung kasih atas kehadiran Seri Paduka di rumah mereka, menyifatkan suaminya bertuah kerana berpeluang dilawati oleh Al-Sultan Abdullah walaupun sudah lebih tiga dekad meninggalkan badan beruniform itu.
“Suami hanya seorang prebet dan sudah terlalu lama bersara… jadi memikirkan masih ada yang ingat dan dapat pula menerima kunjungan Seri Paduka ialah rezeki tidak dijangka, malah tidak pernah sekalipun saya terfikir dapat bertemu Seri Paduka secara dekat.
“Tuanku begitu prihatin dan bertanya bagaimana kami mendapat belanja bulanan selain turut menyemak dengan pegawai yang turut berada di rumah mengenai bantuan tersebut,” katanya kepada Bernama semasa ditemui semalam.
Al-Sultan Abdullah pada ziarah itu turut berkenan menyampaikan sumbangan kepada Nazeri yang telah berkhidmat dalam tentera selama 14 tahun bermula 27 Mei 1975 dan pernah bertugas di Pahang serta Kelantan.
Selain Nazeri, Al-Sultan Abdullah turut berkenan mencemar duli menziarah bekas petugas am Rejimen 505 Askar Wataniah, Hasimah Sulaiman, 62, di Kampung Kelat Rendang di sini, yang merupakan ibu tunggal dan mempunyai seorang anak yang menghidap penyakit buah pinggang.
Hasimah yang berkhidmat selama 12 tahun sejak 1977 berkata anaknya Mohd Akhmar Hakim, 29, kini perlu menjalani rawatan dialisis di Hospital Pekan tiga kali seminggu selepas kedua-dua buah pinggangnya disahkan rosak pada usia 17 tahun.
Ibu kepada sepasang cahaya mata itu menambah, telah berpisah dengan bekas suaminya sekitar tahun 1994.
“Anak tidak bekerja kerana tidak boleh berdiri lama menyebabkan kami berjimat cermat dengan elaun sara hidup yang diperoleh setiap bulan, selain bantuan lain. Seri Paduka ada bertanya mengenai kesihatan anak.
“Dua hari lepas ada wakil Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP) beritahu Seri Paduka akan berangkat ke rumah saya. Saya mulanya gementar kerana saya bukan orang besar dalam tentera, sebaliknya banyak buat kerja pentadbiran dan sekatan jalan raya sahaja,” katanya.
Al-Sultan Abdullah pada keberangkatan pulang ke Istana Abdulaziz di Kuantan dekat sini, turut berkenan mencemar duli bersantap tengah hari di Restoran Kak Nah yang terletak berhampiran jalan masuk ke Istana Abu Bakar di sini.
Pemilik restoran, Rosnah Mohd Amin, 68, berkata beliau menjunjung kasih kesudian Seri Paduka untuk bersantap di situ, selain turut berkenan menjelaskan bayaran pelanggan lain yang berada di situ.
“Saya seronok kerana ada rezeki menjamu Seri Paduka bersantap ikan jelawat yang dipancing di Sungai Pahang petang semalam. Kebetulan, hanya seekor sahaja jelawat diperoleh untuk jualan hari ini yang dimasak tempoyak,” katanya. — Bernama