
MIRI: Dua lelaki direman selama empat hari bagi membantu siasatan berhubung insiden serangan terhadap anggota penguat kuasa Jabatan Hutan Sarawak di kawasan hutan Telang Usan, Sabtu lalu.
Perintah reman dikeluarkan Mahkamah Majistret Miri hari ini bagi membolehkan siasatan dijalankan mengikut Seksyen 103 Ordinan Hutan, berkaitan penggunaan kekerasan jenayah dan halangan terhadap penjawat awam menjalankan tugas sah.
Kedua-dua suspek juga disiasat di bawah Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana disyaki melakukan ugut jenayah terhadap pegawai penguat kuasa semasa kejadian.
Insiden itu menyaksikan sekumpulan individu bertindak agresif dengan mengasari, mencederakan serta mengugut pegawai bertugas. Salah seorang suspek dilaporkan masih bebas dan sedang diburu pihak berkuasa.
Jika disabitkan kesalahan, pesalah boleh dikenakan denda antara RM25,000 hingga RM150,000, atau penjara maksimum tujuh tahun, atau kedua-duanya sekali.
Pihak berkuasa mengingatkan orang awam agar tidak bertindak melulu terhadap penjawat awam yang menjalankan tugas, kerana tindakan sedemikian merupakan kesalahan serius dan boleh menjejaskan kelestarian undang-undang di negeri ini.