
PADAWAN: Kerajaan Sarawak komited membangunkan kawasan luar bandar apabila Kampung Sapit menjadi antara penerima peruntukan tertinggi di bawah Projek Transformasi Luar Bandar (RTP) bagi kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Mambong.
Timbalan Menteri Pengangkutan (Udara dan Jalan) Datuk Dr Jerip Susil mendedahkan sebanyak RM6.2 juta telah disalurkan dari tahun 2015 hingga 2023 untuk pelaksanaan pelbagai projek infrastruktur asas yang memberi manfaat langsung kepada penduduk kampung.
“Peruntukan ini telah digunakan bagi pelaksanaan beberapa projek utama termasuk pembinaan jalan dari Kampung Parang ke Kampung Sapit yang menelan kos sebanyak RM5 juta pada tahun 2016, pembinaan Dewan Serbaguna Kampung Sapit bernilai RM150,000 pada tahun 2018, kerja-kerja menaik taraf jalan kampung dan laluan pejalan kaki dengan kos sebanyak RM200,000 yang dilaksanakan antara tahun 2020 hingga 2022 serta pemasangan sistem paip air graviti yang menelan belanja RM200,000pada tahun 2023.
“Sementara itu, dua lagi peruntukan baharu yang signifikan, iaitu sebanyak RM20 juta bagi menaik taraf Jalan Kampung Sapit dan RM9 juta untuk kerja-kerja menaik taraf jalan Kampung Kiding. Proses tender bagi kedua-dua projek ini dijangka akan dibuka pada penghujung Jun 2025,” ujar beliau semasa berucap dalam Majlis Perasmian Infrastruktur Awam dan Penyampaian Sijil Lantikan Ketua Kaum, di Kampung Sapit hari ini.

Mengulas mengenai pelantikan Ketua Kaum yang baharu, beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Mambong menegaskan pentingnya peranan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) serta KMKK dalam menggerakkan pembangunan di peringkat akar umbi.
“Ketua Kaum ialah wakil rasmi kerajaan. Mereka perlu menjadi jambatan antara rakyat dan pihak pentadbiran agar segala pembangunan dapat dilaksanakan secara berkesan,” tegasnya.
Beliau turut mencadangkan penubuhan pasukan keselamatan kampung, termasuk Pasukan Gerakan Am (GOF) di lokasi strategik, sebagai langkah memperkukuh keselamatan komuniti dan memberi jaminan kepada penduduk serta pelawat.
-UKAS