
LAWAS: Seorang lelaki warga emas maut dalam kebakaran sebuah rumah di Jalan Pulau Salam, berhampiran sebuah kedai motosikal, awal pagi tadi.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Lawas, Clarence D. Primus Tiandun, dalam satu kenyataan memaklumkan bahawa pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 4.18 pagi dan segera bergegas ke lokasi kejadian yang terletak sekitar dua kilometer dari Balai Bomba Lawas.

Pasukan bomba yang diketuai Clarence berjaya mengawal keadaan pada 4.30 pagi dan operasi ditamatkan pada 6.00 pagi.
Hasil pemeriksaan pihak bomba berjaya menemui mayat seorang lelaki dikenali sebagai Dudol Karim, 89, yang ditemukan rentung.
Siasatan awal mendapati rumah teres separuh kekal itu didiami tiga lelaki, termasuk mangsa yang maut dalam kejadian tersebut.
Mangsa yang selamat ialah Gairil Mustafa, 32 tahun dan Nursyamioy Drahman berusia 31 tahun.
Oleh Adeng Edrus