
Jeremy Doku (kiri) meraikan jaringannya bersama rakan sepasukan.
ORLANDO: Manchester City mempamerkan aksi meyakinkan untuk memastikan kedudukan teratas Kumpulan G Piala Dunia Kelab dengan kemenangan bergaya 5-2 ke atas Juventus, awal pagi tadi.
Kemenangan ketiga berturut-turut untuk pasukan kendalian Pep Guardiola itu meningkatkan peluang City untuk mengelak pertembungan dengan Real Madrid dalam pusingan 16 terakhir.
Pemenang Ballon d’Or 2024, Rodri, membuat penampilan pertama sejak mengalami kecederaan ligamen anterior cruciate (ACL) pada September lalu dan City yang menampilkan beberapa muka baharu, kelihatan jauh lebih mantap berbanding musim lalu di mana mereka ketinggalan 13 mata di belakang juara Liga Perdana Inggeris (EPL), Liverpool.
Pasukan berwajah baharu Guardiola mendahului minit ke-9 apabila Rayan Ait-Nouri menembusi pertahanan Juve dengan satu hantaran cemerlang yang disambut oleh Jeremy Doku dan disudahkan ke penjuru gawang gol.
Juve dihadiahkan gol penyamaan apabila hantaran penjaga gol City, Ederson, dipintas oleh Teun Koopmeiners yang mara ke dalam kotak penalti dan tenang menyumbat gol.
Namun, Juve membalas ‘hadiah’ itu pada minit ke-26 apabila pertahanan Perancis, Pierre Kalulu, tanpa tekanan, tertampan hantaran lintang rendah dari Matheus Nunes ke gawang sendiri.
Guardiola memasukkan penyerang prolifik Norway, Erling Haaland, sebaik separuh masa kedua bermula dan tidak sampai tujuh minit, dia menjaringkan gol.
Rodri yang meninggalkan padang pada minit ke-66 disambut tepukan gemuruh dan digantikan oleh Ilkay Gundogan di bahagian tengah, namun City terus mendominasi pasukan dari Turin itu.
Haaland menerima hantaran jauh dari Ederson dan cuba mencari pemain gantian, Phil Foden di tengah, namun hantaran silangnya terlalu jauh. Savinho berjaya menyelamatkan bola itu dan menghantar kepada Foden untuk gol mudah.
Savinho kemudian menjadikan kedudukan 5-1 apabila sepakan Haaland diselamatkan oleh kaki De Gregorio, namun pemain Brazil itu pantas menyambar bola muntah dan meledak sepakan padu yang terkena bahagian bawah palang sebelum masuk.
Juventus meraih gol kedua menerusi Dusan Vlahovic yang menewaskan Ederson dari luar kotak penalti.
“Kami sudah lama tidak bermain sebaik ini, dari segi dengan dan tanpa bola. Barisan pemain benar-benar komited dan kami gembira dapat menewaskan pasukan gergasi,” kata Guardiola selepas perlawanan.
“Ini hanyalah satu perlawanan, tetapi saya rasa barisan pemain dapat merasakan semula bagaimana rasanya menjadi sebuah pasukan yang baik. Keyakinan hadir daripada persembahan semasa, bukan dari masa lalu.
“Kami amat merindui aksinya (Rodri). Dia tahu dengan tepat apa yang perlu dilakukan dengan bola, dan personalitinya juga sangat penting. Saya tidak sangka dia boleh bermain selama itu. Dia akan bersedia untuk perlawanan seterusnya. Semua orang bermain dengan cemerlang,” tambah Guardiola, yang gembira dengan kepulangan Rodri. – AFP