
SARATOK: Ibu bapa di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kalaka digesa merebut peluang menghantar anak mereka ke Sekolah Menengah Antarabangsa Yayasan Sarawak (YSISS).
Ahli Dewan Undangan Negeri (DUN) Kalaka, Mohamad Duri berkata penubuhan YSISS bertujuan memberi peluang kepada pelajar cemerlang, terutamanya dari luar bandar dan keluarga berpendapatan rendah, mendapatkan pendidikan bertaraf antarabangsa.
“Inisiatif kerajaan menubuhkan sekolah antarabangsa di luar bandar ini perlu dimanfaatkan sepenuhnya oleh ibu bapa,” katanya.
Beliau menambah, YSISS menyediakan suasana pembelajaran kondusif serta meningkatkan daya saing pelajar untuk meraih keputusan cemerlang sebelum melanjutkan pengajian ke peringkat antarabangsa.
Mohamad Duri berkata sekolah antarabangsa ini memberi peluang kepada anak luar bandar agar terdedah dengan persekitaran dan sistem pendidikan bertaraf tinggi, sejajar dengan dasar sosial Sarawak yang mengutamakan keadilan tanpa mengira latar belakang.
“Sekarang, hanya golongan elit yang mampu menghantar anak ke sekolah antarabangsa swasta. Melalui YSISS, semua anak Sarawak mendapat peluang sama,” ujarnya pada majlis ‘Ngiling Tikai’ anjuran PIBG Sekolah Kebangsaan Lubok Nibong.
Beliau turut memuji perancangan Pembangunan Pasca COVID-19 2030 (PCDS 2030) yang dirangka Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg, termasuk mewujudkan sekolah antarabangsa dan pengajian percuma bagi anak Sarawak.
Turut hadir Guru Besar SK Lubok Nibong Mohamad@Zaini Mahrid, Setiausaha Kehormat PBB Kalaka Gapor Ahmad dan Ketua Pemuda PBB Kalaka Harjam Jemain.
Oleh Adi Safarman