
KABONG: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kabong, Dato Mohd Chee Kadir telah menyerahkan sumbangan geran projek khas kerajaan Sarawak berjumlah RM8,000 kepada Geng Wharf Kabong hari ini.
Sumbangan yang disampaikan melalui Persatuan Nelayan Kawasan (PNK) Kabong ini adalah bertujuan bagi pembelian acuan bot gentian kaca bagi kegunaan membina bot di Bengkel Bot Nelayan Kampung Hulu Sungai Benang, Kabong.
“Bantuan ini merupakan kesinambungan daripada pembinaan Bengkel Bot Nelayan Kampung Hulu Sungai Benang Kabong yang telah dilaksanakan di kampung tersebut sebelum ini.
“Ia dilihat sebagai satu inisiatif penting dalam memperkasakan komuniti nelayan tempatan melalui kemahiran teknikal dan menjana ekonomi golongan nelayan,” katanya semasa menyampaikan sumbangan tersebut hari ini.

Chee Kadir berharap agar sumbangan ini dimanfaatkan sepenuhnya untuk memperkukuh daya saing dan pendapatan nelayan setempat, khususnya dalam bidang pembinaan bot tempatan yang lebih lestari dan berkualiti.
“Saya berharap projek ini dapat membuka peluang ekonomi baharu kepada anak-anak muda di Kabong serta mengangkat kembali kemahiran tradisi seperti pembinaan bot ke satu tahap yang lebih moden dan berdaya saing,” ujarnya.
Oleh Adi Safarman