LAWAS: Gelombang transformasi yang melanda semua perkampungan di Lawas perlu disambut baik oleh masyarakat setempat dengan penglibatan secara aktif mereka dalam menjana ekonomi keluarga.
Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Awang Tengah Ali Hassan berkata program pembangunan menyeluruh yang disalurkan menerusi peruntukan Program Transformasi Luar Bandar (RTP) dan Agensi Pembangunan Wilayah Utara (NRDA) dijangka akan merancakkan kadar pembangunan di seluruh daerah Lawas bagi tempoh dua tahun akan datang.
Beliau yang menghadiri Majlis Penyerahan Daging Korban sempena Aidiladha dan Sesi Ngobrol dan Ngupi di perkarangan Masjid Al Takwa Kampung Ladang Baru Lawas memberitahu Kampung Ladang Baru memiliki potensi sebagai tempat persinggahan, pelancongan dan kegiatan ekonomi kecil dan sederhana sekaligus membantu merubah sosio ekonomi setempat
Beliau turut meminta pihak Jabatan Tanah dan Servei Sarawak (JTS) untuk membuat penyelidikan di kawasan kampung Surubaya Lawas supaya ia akan dapat dikeluarkan dengan geran.
Beliau juga memaklumkan kerajaan telah meluluskan peruntukan untuk penambahbaikan kepada dewan yang lama untuk Kampung ladang baru melalui peruntukan dibawah RTP.
Menerusi peruntukan NRDA katanya sebuah Anjung Usahawan di Kampung Ladang akan dibina dengan peruntukan sebanyak RM2.8 juta dan dijangka dapat dilaksanakan selewatnya September ini.
Tapak juga sudah kita sediakan yang mengandungi tapak untuk perniagaan, stor, yang berminat untuk terlibat dalam bidang memproses makanan daripada hasil pertanian dan banyak lagi kemudahan yang lain,” katanya.
Menurut Awang Tengah, beberapa projek termasuk pembinaan jambatan yang menghubungkan Kampung Ladang Baru ke bandar Lawas serta kemudahan prasarana lain seperti balai polis, MRSM, CENTEXS, sebuah sekolah menengah berasrama penuh yang menunggu kelulusan.
Sementara itu ,Awang Tengah juga menyeru penduduk kampung untuk mengusahakan tanah mereka dengan mendapat khidmat nasihat daripada k Jabatan Pertanian mengikut kesesuaian kesuburan tanah untuk tanaman yang berpotensi.
“Pusat pengumpulan, Pemprosesan, Pembungkusan hasil pertanian sudah dalam perlaksanaan kita dan ini akan memberi peluang kepada penduduk kampung memasarkan produk pertanian mereka,”katanya
Pada masa sama, beliau turut menggalakan penduduk kampung yang terlibatdengan sektor pertanian dan ternakan untuk menggunakan teknologi terkini kerana berupaya meningkatkan hasil mereka walaupun tidak mempunyai tanah yang luas.
“Jika kita tiada modal, banyak kemudahan disediakan untuk membantu dari segi perusahaan kecil seperti mikro kredit yang memberi pinjaman kepada kita untuk modal berniaga. Jadi boleh memohon kepada institusi atau Agrobank untuk melaksanakan mikro kredit ini,” jelasnya.
Oleh Adeng Edrus