Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • SUKAN
  • Neymar sambung kontrak di Santos, sedia hadapi Piala Dunia 2026
  • SUKAN

Neymar sambung kontrak di Santos, sedia hadapi Piala Dunia 2026

Utusan Sarawak 17 hours ago

SAO PAULO: Neymar mengumumkan lanjutan kontraknya bersama kelab Brazil, Santos sehingga penghujung 2025, dalam usaha untuk mengembalikan prestasi terbaik menjelang Piala Dunia tahun depan.

“Saya buat keputusan ini mengikut kata hati. Santos bukan sekadar pasukan saya, ia adalah rumah saya, tempat asal, sejarah dan hidup saya,” kata penyerang berusia 33 tahun itu dalam kenyataan yang dikeluarkan oleh kelab.

Neymar memulakan karier profesionalnya bersama Santos sebelum berhijrah ke Barcelona dan kemudiannya ke Paris Saint-Germain (PSG).

Selepas bergelut dengan kecederaan ketika beraksi di Arab Saudi, dia kembali ke Santos pada Januari lalu dengan kontrak yang sepatutnya tamat pada 30 Jun.

Namun, masalah kecederaan yang membataskan aksinya kepada hanya tujuh perlawanan dalam tempoh 17 bulan bersama Al-Hilal masih berterusan.

Sejak kembali menyarung jersi Santos, Neymar sudah beraksi dalam 12 perlawanan di semua kejohanan sepanjang lima bulan dan menjaringkan tiga gol.

Dalam penampilan terakhirnya di liga domestik, dia dilayangkan kad merah selepas menerima kad kuning kedua kerana menjaringkan gol menggunakan tangan ketika menentang Botafogo.

Selepas 12 perlawanan musim ini dalam saingan liga Brazil, Santos hanya berada di luar zon penyingkiran berdasarkan perbezaan gol.

Kepulangannya ke Brazil turut mengundang kritikan, terutama apabila dia dilihat berpesta di Karnival Rio dan menyertai kejohanan tujuh sebelah Kings League yang lebih bersifat hiburan, meskipun masih belum pulih sepenuhnya daripada kecederaan.

Neymar kini adalah penjaring terbanyak sepanjang zaman untuk skuad kebangsaan Brazil dengan 79 gol, dua gol mengatasi legenda Santos, Pele, namun impiannya untuk menjulang Piala Dunia sering berakhir dengan kekecewaan.

Dia dipanggil menyertai skuad Brazil pada Mac lalu untuk dua aksi kelayakan Piala Dunia, tetapi terpaksa menarik diri kerana mengalami kecederaan paha.

Pada Mei lalu, jurulatih baharu Brazil, Carlo Ancelotti tidak menyenaraikan Neymar dalam skuad utamanya.

“Saya memilih pemain yang berada dalam keadaan cergas. Neymar baru saja pulih daripada kecederaan. Semua orang tahu dia pemain yang sangat penting dan kami sememangnya tetap mengharapkan khidmatnya,” kata Ancelotti. – AFP

Continue Reading

Previous: Harapan Sivasangari ke separuh akhir tidak kesampaian selepas catat kekalahan kedua
Next: Edisi kelima Borneo Fittest perkukuh Sarawak sebagai hab sukan gaya hidup

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.