LAWAS: Petugas barisan hadapan Pusat Khidmat Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Cawangan Bukit Sari, Lawas wajar mendapat perhatian dan penghargaan atas pengorbanan mereka.
Barisan berkenaan, setakat ini telah membantu dalam menjayakan agihan sumbangan pek makanan wakil-wakil rakyat dan sumbangan program Sarawakku Sayang.
Bermula dengan mengagih dan menghantar barangan bantuan makanan sejak arahan PKP dimulakan hinggalah kepada fasa kedua bantuan sejajar dengan arahan peringkat kedua PKP.
Pada Sabtu dan Ahad lalu, pasukan yang diketuai Setiausaha Parti PBB Cawangan Bukit Sari, Awang@Ibrahim Ahmat telah mengedarkan bantuan sumbangan daripada Jabatan Pertanian Lawas.
Sumbangan berupa produk pertanian diagihkan kepada penduduk di Awat-awat dan Sundar yang berjumlah 242 pek sayuran dan buah-buahan.
Selebihnya 248 barangan serupa diagih kepada penduduk Ba’kelalan.
Pada hari Ahad, pasukan itu disertai Pegawai Daerah Lawas merangkap Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah, Ladin Atok mengagihkan 1,500 pek bantuan makanan daripada kerajaan kepada penduduk di Zon Kuala Lawas dan Merapok.
Ini diikuti agihan kepada penduduk zon Punang yang membabitkan 500 pek bantuan makanan untuk Kampung Punang Asal, Punang Ulu dan Punang Jaya.
Awang@Ibrahim menjelaskan kerja penghantaran direhatkan hari Isnin kerana kehabisan bekalan beras, gula, minyak masak dan beberapa barangan dapur lainnya.Ini disebabkan bekalan untuk keperluan adalah dari Sabah dan Bahagian Miri.
Bekalan dari negeri Sabah turut berdepan kekurangan stok kerana kerajaan Sabah turut ada program bantuan makanan untuk rakyatnya.
Manakala bekalan dari Miri tidak dapat melalui negara Brunei dan terpaksa menggunakan pengangkutan laut iaitu kapal kargo.
Sementara itu Ladin memberitahu, pihaknya sentiasa memberi penuh kerjasama untuk memastikan akses bekalan barangan keperluan dapat dibawa masuk ke daerah Lawas tanpa sebarang halangan.
Kedua-dua daerah Limbang dan Lawas diapit oleh negara Brunei dan negeri Sabah yang menyaksikan akses bekalan keperluan sukar diterima dengan cepat.