
SRI AMAN: Sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) Toyota Vellfire Hybrid telah terbakar dalam kejadian di Lebuh Raya Pan Borneo Sri Aman-Lachau dekat sini hari ini.
Menurut Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak berkata Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sri Aman telah menerima panggilan daripada penduduk berhubung kebakaran itu sekitar 2.28 petang.
Seramai tujuh anggota daripada BBP Sri Aman yang diketuai oleh Pegawai Bomba Kanan 2, Noor Faqriakmal Jamari telah dikerahkan ke lokasi kejadian selepas menerima panggilan tersebut.

“Setibanya Pasukan Keluaran Operasi (PKO) di lokasi kejadian, didapati berlakunya kebakaran kenderaan MPV jenis Toyota Vellfire Hybrid di dalam simpang pusingan P di Lebuh Raya Pan Borneo Sri Aman-Lachau.
“Semasa ketibaan anggota bomba, mangsa tiada di lokasi kejadian. Mangsa telah ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sri Aman untuk membuat laporan polis,” katanya.
Dalam pada itu, PGO berkata PKO BBP Sri Aman dengan menggunakan pakaian perlindungan diri (PPE) yang lengkap terus membuat penilaian awal dan membentang satu aliran salur bantu mula air tangki jentera untuk memadam kebakaran tersebut.
“Kenderaan terbakar 100 peratus. Punca kejadian dan kerugian masih dalam siasatan,” ujarnya.
Oleh Adi Safarman