


BERJAYA DISELAMATKAN….Tindakan berani pemilik kedai kopi berjaya menyelamatkan kedainya daripada kebakaran di Lorong 2, Jalan Meludam, awal pagi tadi.
SIBU: Tindakan pantas dan berani seorang pemilik kedai kopi berjaya menyelamatkan premisnya daripada musnah dalam kebakaran di Lorong 2, Jalan Meludam, awal pagi tadi.
Pusat Gerakan Operasi (PGO) Bomba Sarawak dalam kenyataan memaklumkan bahawa sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sibu Sentral bergegas ke lokasi sebaik menerima panggilan kecemasan pada 2.49 pagi.
“Sebaik tiba di lokasi, Pasukan Keluaran Operasi (PKO) mendapati berlaku kebakaran di dalam premis berkenaan dengan kira-kira lapan peratus struktur bangunan mengalami kerosakan,” katanya.
Bagaimanapun, api berjaya dipadam sepenuhnya oleh pemilik kedai menggunakan air paip sebelum ketibaan pasukan bomba.
“Komander Operasi kemudian melakukan penilaian situasi ‘size up’ dan pemantauan lanjut di sekitar lokasi bagi memastikan tiada lagi punca kebakaran aktif,” ujarnya.
Tambah beliau, tiada kecederaan dilaporkan dalam kejadian tersebut, manakala punca kebakaran dan jumlah kerugian masih dalam siasatan.
Oleh Akun Giman