
BETONG: Sebanyak 215 projek telah dirancang di bawah Jawatankuasa Sektor Pembangunan Agro Pertanian Agensi Pembangunan Bahagian Betong (BDDA) pada tahun ini.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kabong, Dato Mohd Chee Kadir berkata daripada jumlah tersebut sebanyak 33 projek akan dilaksanakan di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kabong.
“Daripada 215 projek yang diluluskan oleh BDDA sebanyak 33 projek akan dilaksanakan untuk kawasan DUN Kabong melibatkan peruntukan keseluruhan berjumlah RM23.6 juta,” katanya.
Dalam pada itu, Chee Kadir yang diwakili oleh Nur Elffi Amir telah hadir pada mesyuarat Jawatankuasa Sektor Pembangunan Agro Pertanian BDDA yang dipengerusikan oleh ADUN Krian Friday Belik di Bilik Mesyuarat Pejabat Residen Bahagian Betong, kelmarin.
Mengulas lanjut, Chee Kadir berkata status pelaksanaan projek-projek di DUN Kabong iaitu 28 projek telah siap sepenuhnya, tiga projek dalam peringkat belum mula dan dua projek dalam peringkat perancangan.
Di akhir mesyuarat, Friday menyatakan bahawa kebanyakan projek yang masih belum dilaksanakan dijangka akan bermula pada suku ketiga dan suku keempat tahun 2025.
Beliau turut mengharapkan serta menegaskan agar semua projek dapat dilaksanakan mengikut jadual yang ditetapkan bagi memastikan impaknya dapat dirasai oleh golongan sasar terutamanya para petani dan pengusaha dalam sektor agro-pertanian.
Oleh Adi Safarman