
MIRI: Pustaka Miri akan menganjurkan Kempen Derma Darah bagi suku tahun kedua 2025 pada 21 Jun ini, bertempat di Aras 1, Institut Latihan Bulan Sabit Merah, cawangan Miri, bermula 9.00 pagi hingga 1.00 petang.
Kempen ini merupakan kerjasama berterusan antara Pustaka Miri dan Tabung Darah Hospital Miri, dan diadakan setiap suku tahun sebagai salah satu inisiatif tanggungjawab sosial perpustakaan tersebut.
“Kempen Derma Darah ini adalah sebahagian daripada usaha kami menyokong masyarakat setempat dan mempromosikan kesihatan awam.
“Sebagai sebuah perpustakaan yang bukan sahaja berfungsi sebagai pusat ilmu, tetapi juga hab komuniti, kami percaya kepada kepentingan memberi kembali kepada masyarakat melalui inisiatif yang bermakna,” kata Pegawai Pengurusan Korporat Pustaka, Shirley Szebah Mambai, dalam satu kenyataan, hari ini.
Sebagai penghargaan, 50 penderma darah pertama yang berjaya menderma akan menerima baucar buku bernilai RM30 daripada Smart Bookshop.
Pustaka Miri turut memaklumkan bahawa dua lagi sesi kempen derma darah akan diadakan pada 27 September dan 29 November depan.
Untuk maklumat lanjut, orang ramai boleh menghubungi Shirley Szebah Mambai di talian 085-422525 atau melalui e-mel di shirleysm@sarawak.gov.my.
Oleh Liong Chai Ling