Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • PENDIDIKAN
  • Bantuan sewa RM200 bantu ringankan beban pelajar Sarawak
  • PENDIDIKAN

Bantuan sewa RM200 bantu ringankan beban pelajar Sarawak

Utusan Sarawak 12 hours ago
DATO Fazzrudin Abdul Rahman bercakap sidang media selepas perasmian taklimat inisiatif pendidikan kerajaan Sarawak di Universiti Malaysia Sarawak (Unimas).

KOTA SAMARAHAN: Kerajaan Sarawak memperkenalkan semula bantuan sewa rumah sebanyak RM200 sebulan bagi membantu pelajar Sarawak yang menuntut di institusi pengajian tinggi awam (IPTA) dan swasta (IPTS) di negeri ini.

Menurut Ketua Setiausaha Politik kepada Premier Sarawak, Dato Fazzrudin Abdul Rahman, bantuan tersebut disalurkan melalui Skim Bantuan Sewa kendalian Perbadanan Pembangunan Perumahan (HDC), dan kini mencatat peningkatan jumlah permohonan dalam kalangan pelajar.

“Ramai pelajar telah mendapat manfaat melalui sesi penerangan yang dijalankan menerusi Taklimat Inisiatif Pendidikan Sarawak.

“Program ini memberi penerangan menyeluruh mengenai pelbagai inisiatif kerajaan, di samping membolehkan agensi seperti HDC menerima permohonan terus daripada para pelajar,” katanya pada sidang media selepas perasmian taklimat inisiatif pendidikan kerajaan Sarawak di Universiti Malaysia Sarawak (Unimas), di sini, hari ini.

Fazzrudin menegaskan bahawa bantuan ini sangat penting untuk meringankan beban kewangan pelajar, terutamanya daripada keluarga B40.

Beliau turut menjelaskan bahawa skim ini sebenarnya telah lama diwujudkan, namun sebelum ini kurang mendapat sambutan disebabkan kekurangan pendedahan.

“Kerajaan Sarawak kini lebih proaktif menjelajah ke seluruh negeri melalui siri taklimat agar pelajar tidak tercicir daripada peluang bantuan yang tersedia.

“UNIMAS merupakan lokasi kedua selepas UiTM dalam siri taklimat ini, yang memberi tumpuan khusus kepada pelajar Sarawak di institusi tempatan,” jelas beliau.

Sementara itu, Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni Unimas, Prof Ir Ts Dr Al-Khalid Haji Othman, menyambut baik inisiatif kerajaan tersebut sambil memaklumkan bahawa lebih 6,000 pelajar daripada kategori B40 sedang menuntut di Unimas ketika ini.

“Kos sewa antara RM450 hingga RM500 setiap semester memberi tekanan kewangan yang besar kepada pelajar, dan bantuan ini hadir tepat pada waktunya.

“Unimas juga menerima sumbangan sebanyak RM40,000 daripada Kerajaan Sarawak untuk menyokong pelaksanaan program foodbank kampus, dengan jumlah yang sama turut disalurkan kepada UiTM,” ujarnya.

Kerajaan Sarawak komited memastikan kebajikan pelajar terus terpelihara melalui program pendidikan menyeluruh, yang dilihat sebagai pelaburan strategik demi masa depan negeri.

Oleh Masrin Affirah & Adele Rissa

Tags: PENDIDIKAN

Continue Reading

Previous: Perkukuh semangat perpaduan warga Pejabat Pendidikan Daerah Saratok

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.