
SIMANGGANG: Program ‘Serumpu Makai Lemai’ anjuran Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Raban Dayak RPR Fasa 2, Taman Sentosa Indah telah berlangsung meriah di kediaman Pengerusi JKKK yang baharu dilantik, Christopher @ Watt Agam.
Timbalan Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat, Datuk Francis Harden Hollis menzahirkan penghargaan dan tahniah kepada seluruh ahli JKKK atas kerjasama yang telah memastikan proses peralihan kepimpinan berjalan lancar.
“Saya berharap sokongan penuh akan terus diberikan kepada pengerusi baharu demi kebaikan dan kemajuan komuniti setempat. Penduduk serta ahli JKKK perlu berganding bahu sebagai satu pasukan dalam menjaga kebajikan dan kesejahteraan kawasan ini.
“Saya juga ingin menegaskan bahawa tugas sebagai pengerusi perlu dilaksanakan dengan penuh kejujuran dan keikhlasan. Khidmat kepada rakyat hendaklah diberikan secara adil tanpa mengira fahaman politik atau perbezaan peribadi,” katanya.
Dalam ucapan sama, Harden yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Simanggang turut berkongsi maklumat mengenai dasar kerajaan Sarawak, terutamanya berkaitan pendidikan.
“Bermula tahun hadapan, kerajaan Sarawak akan memperkenalkan pendidikan percuma kepada anak-anak Sarawak yang melanjutkan pengajian ke peringkat ijazah di institusi pengajian tinggi milik kerajaan negeri.
“Antara institusi terbabit ialah Universiti Curtin, Universiti Swinburne, Universiti Teknologi Sarawak (UTS), Kolej Universiti i-CATS dan Pusat Kecemerlangan Teknologi Sarawak (CENTEXS). Inisiatif ini mencerminkan kesungguhan kerajaan dalam memperkasa modal insan menuju Sarawak sebagai negeri maju menjelang 2030,” jelas beliau.
Majlis turut menyaksikan penyampaian cek berjumlah RM3,000 oleh Datuk Francis Harden kepada JKKK Raban Dayak RPR Fasa 2, Taman Sentosa Indah, sebagai dana permulaan untuk melaksanakan aktiviti bermanfaat kepada masyarakat setempat.
Oleh Adi Safarman