KABONG: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kabong, Mohd. Chee Kadir menunaikan solat sunat Aidiladha bersama jemaah di Masjid Assabirin Kabong, di sini dalam suasana kebiasaan baharu, semalam.
Chee Kadir yang memakai baju Melayu berwarna kelabu serta lengkap bersampin, turut memakai penutup hidung dan mulut serta membawa sejadah sendiri bagi mematuhi prosedur operasi standard (SOP) bagi mencegah penularan wabak Covid-19.
Malah, kelihatan Chee Kadir sentiasa mengutamakan SOP khususnya penjarakan fizikal dan pemakaian penutup hidung dan mulut.
Beliau yang tiba jam di masjid tersebut pagi semalam, bagi menunaikan solat sunat bersama kira-kira 698 jemaah yang hadir.
Aspek pematuhan terhadap SOP turut diberikan keutamaan oleh pihak pengurusan masjid dengan menjalankan pemeriksaan suhu badan, penjarakan fizikal dan memakai penutup hidung dan mulut.
Rata-rata jemaah hadir di masjid berasa teruja kerana dapat menunaikan ibadah sunat berkenaan meskipun negara masih berada dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP).
Sementara itu, Pengerusi Pengurusan Masjid Assabirin Kabong, Ahmad Johar Bidin berkata, pihaknya hanya membenarkan seramai 548 jemaah lelaki dan 150 jemaah wanita untuk menunaikan solat sunat Aidiladha di masjid berkenaan.
“Sebagai mematuhi arahan PKPP, para jemaah juga dikehendaki mematuhi SOP bagi mencegah Covid-19 dengan semua jemaah diwajibkan menggunakan penutup hidung dan mulut serta membawa sejadah sendiri.
“Orang ramai diingatkan supaya patuh kepada SOP PKPP ketika hadir ke masjid.
“Jika ada yang tidak menggunakan penutup hidung dan mulut, pihak petugas tidak akan membenarkan jemaah masuk ke masjid,” ujarnya.
Ahmad berkata, pihak pengurusan masjid turut menyediakan empat stesen pengimbas suhu untuk jemaah yang hadir dan setiap jemaah yang hadir akan diimbas suhu dan dikehendaki menulis nama dan nombor telefon di dalam buku yang disediakan.
“Kenderaan seperti motosikal tidak dibenarkan masuki kawasan pekarangan masjid kerana dijadikan ruang solat,” ujarnya.
Oleh Adi Safarman