Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • SEMASA
  • Kerajaan utamakan rasionalisasi subsidi RON95 terlebih dahulu sebelum cukai karbon pada 2026
  • SEMASA

Kerajaan utamakan rasionalisasi subsidi RON95 terlebih dahulu sebelum cukai karbon pada 2026

Utusan Sarawak 21 hours ago
GAMBAR hiasan – Foto Bernama

KUALA LUMPUR: Kerajaan akan mengutamakan rasionalisasi subsidi petrol RON95 tahun ini sebelum memperkenalkan cukai karbon pada 2026, kata Menteri Kewangan II Datuk Seri Amir Hamzah Azizan.

Beliau berkata Malaysia perlu menangani isu subsidi bahan api terlebih dahulu, khususnya yang melibatkan sektor tenaga, sebelum melaksanakan cukai karbon.

Sebelum ini kerajaan telah mengumumkan rancangan untuk melaksanakan cukai karbon yang menyasarkan industri besi, keluli dan tenaga pada 2026, seperti yang digariskan dalam Belanjawan 2025.

“Memandangkan kita memulakan usaha peralihan ini, kita perlu memastikan tiada kesan sampingan yang tidak diingini berlaku dalam sistem kita.

“Contohnya, Malaysia masih belum melaksanakan cukai karbon sebagai sebahagian kerangka dasar negara. Walaupun dijadualkan akan dilaksanakan pada 2026, terdapat beberapa langkah awal penting yang perlu kita ambil,” katanya ketika menjadi ahli panel bagi membincangkan tajuk ‘Delivering Malaysia’s Energy Transition’ di Persidangan Energy Asia 2025 di sini, hari ini.

Turut serta sebagai ahli panel ialah Timbalan Menteri Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) Akmal Nasrullah Mohd Nasir dan Timbalan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Liew Chin Tong.

Sesi itu dipengerusikan oleh bekas Pengerusi Bursa Malaysia, Tan Sri Abdul Wahid Omar.

Amir Hamzah berkata antara isu utama ialah gangguan sedia ada dalam sistem itu, terutama subsidi yang diberikan kepada sektor tenaga.

“Kini, objektif utama adalah untuk mula mengurangkan semula subsidi ini. Tidak masuk akal untuk mengenakan cukai sedangkan pada masa yang sama masih memberikan subsidi untuk petrol, diesel dan bahan api lain,” katanya.

Beliau berkata rasionalisasi subsidi merupakan langkah penting dalam meletakkan asas kukuh bagi mewujudkan mekanisme dan kerangka dasar yang mampan.

“Hasil daripada itu, kita boleh menjangkakan pengenalan langkah yang berstruktur, termasuk kerangka tindakan iklim, alat pengukuran yang kukuh, dan akhirnya pelaksanaan cukai karbon untuk menyokong semua inisiatif ini.

“Jika kita mahu peralihan ini mampan dan memberi impak, keseluruhan sistem perlu bertindak balas. Usaha ini tidak boleh digerakkan hanya melalui pengumuman berasingan atau dasar terpisah. Cabaran bagi kerajaan adalah untuk menyelaraskan semua perkara ini secara koheren dan berkesan,” katanya.

Semalam, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata pelarasan yang melibatkan harga petrol RON95 tidak akan menjejaskan 85 hingga 90 peratus rakyat.

Anwar berkata langkah kerajaan ke arah rasionalisasi subsidi adalah satu tindakan penting untuk memastikan sumber negara disalurkan secara berkesan bagi manfaat golongan berpendapatan rendah.- Bernama

Tags: SEMASA

Continue Reading

Previous: 99 karya lukisan meriahkan pameran seni Sarawak-Brunei
Next: PM Anwar puji usaha KWSP tingkat kecukupan pendapatan persaraan

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.