
BINTANGOR: Klinik Kesihatan Bintangor bakal melaksanakan Sistem Pengurusan Klinik Berasaskan Awan (CBCMS) yang membolehkan operasi harian dan data pesakit diuruskan secara dalam talian melalui sambungan internet.
Sehubungan itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Meradong, Datuk Ding Kuong Hiing, memohon kepada Lembaga Multimedia Sarawak (SMA) agar segera melaksanakan pemasangan saluran internet yang kukuh dan stabil di klinik berkenaan.
“Pelaksanaan sistem CBCMS ini sangat bergantung kepada sambungan internet yang stabil dan pantas.
“Justeru, saya akan membawa perkara ini kepada perhatian pihak SMA supaya pemasangan segera dapat dilaksanakan,” katanya semasa lawatan dan tinjauan ke Klinik Kesihatan Bintangor, semalam.
Menurutnya, sistem CBCMS membolehkan akses maklumat pesakit dari mana-mana lokasi secara dalam talian, sekali gus meningkatkan kecekapan pengurusan serta mempercepatkan proses rawatan.
“Sistem ini menawarkan banyak kelebihan seperti kecekapan pengurusan yang lebih tinggi, penglibatan pesakit yang lebih aktif, serta aliran kerja yang lebih lancar.
“Ia amat membantu, khususnya di klinik-klinik kecil seperti di Bintangor yang mempunyai kekangan dari segi sumber manusia dan infrastruktur,” jelasnya.
Ding turut menekankan bahawa kelewatan merekod data pesakit sebelum ini telah menyebabkan pesakit perlu menunggu lama untuk mendapat rawatan.
Dengan adanya saluran internet yang stabil, ujarnya, masalah tersebut dapat diatasi.
Turut hadir dalam lawatan tersebut ialah Pegawai Klinik Kesihatan Bintangor, Dr Dayang Hanifa Abg Hashim dan Pemanca Yii Hee Sieng.
Oleh Earl Anek