Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • HIBURAN
  •  ‘Here I Am’: Rossa raikan cinta, satukan dua serumpun
  • HIBURAN

 ‘Here I Am’: Rossa raikan cinta, satukan dua serumpun

Utusan Sarawak 15 hours ago
DATUK Seri Rossa.

KUALA LUMPUR: Lebih 10,000 peminat Datuk Seri Rossa memenuhi Axiata Arena pada Sabtu malam bagi menyaksikan kehebatan penyanyi itu dalam konsert Here I Am, yang turut menjadi pentas menyatukan dua negara serumpun.

Menerusi susunan lebih 30 lagu memukau dan visual bertenaga selama lebih tiga jam, pemilik nama sebenar Sri Rossa Roslaina Handiyani ini bukan sekadar menyanyi, tetapi turut merayakan cinta, berkongsi luka, memeluk kenangan dalam persembahannya.

Lagu ikonik Tegar membuka tirai persembahan penghibur ternama Indonesia itu, disusuli dengan lagu Malam Pertama dan Hati Yang Kau Sakiti, menjadikan pentas malam itu umpama diari terbuka tempat Rossa menumpahkan cerita cinta dan air mata.

Meski usia kian matang, vokalnya tetap ampuh, konsisten bertenaga menyampaikan not tinggi tanpa cela membuktikan penyanyi berusia 47 tahun ini masih mampu membuat penonton terpaku di tempat masing-masing sekalipun sistem bunyi di beberapa bahagian dewan kurang memuaskan.

 “Selepas 15 tahun, akhirnya saya kembali ke pentas Axiata Arena demi peminat di sini. Malaysia sudah saya anggap seperti rumah kedua saya, ” katanya disambut sorakan daripada penonton. 

Antara momen paling menyentuh perasaan ialah tribute khas buat Datuk Seri Siti Nurhaliza, apabila Rossa menyampaikan tiga lagu ikonik penyanyi tersohor Malaysia itu Percayalah, Biarlah Rahsia dan Bukan Cinta Biasa.

Lebih bermakna apabila Siti Nurhaliza, yang hadir sebagai penonton, menzahirkan kemesraan antara dua ikon serumpun apabila secara spontan menyambut nyanyian Rossa dari tempat duduknya, mengejutkan seluruh dewan.

Pentas terus menjadi saksi kolaborasi dua negara serumpun apabila Ernie Zakri dan Rossa bersatu suara dalam duet padu yang menggabungkan lagu Masing-Masing dan Aku Bukan Untukmu, dua lagu berbeza namun berkisar kisah kehilangan dan luka yang sama, disampaikan dengan penuh perasaan.

“Lagu ini (Masing-masing) diputar ratusan juta di streaming (platform penstriman), ini juga hasil kolaborasi Malaysia-Indonesia (Ernie dan Ade Govinda), hari ini aku mahu ajak semua orang nyanyi bersama,” kata Rossa sebelum memulakan duet tersebut. 

Hael Hussaini pula muncul dengan karisma tersendiri, dan jujurnya, selepas duet Terlalu Cinta, ramai pasti menyangka mereka akan menyanyikan Haram, lagu duet popular sarat emosi yang pernah dinyanyikan bersama-sama Dayang Nurfaizah, sesuai dengan mood melankolik ketika itu.

Namun sangkaan itu meleset apabila penonton disajikan dengan Meriah Lain Macam, lagu raya nyanyian asal bersama Nadeera yang diubah sedikit liriknya, sekali gus mengubah suasana pentas menjadi segar, bertenaga dan ceria.

 Konsert turut dimeriahkan dengan kolaborasi Rossa dengan artis kelahiran program realiti kedua negara iaitu The Ladies dari Indonesian Idol dan One In A Million (Marygrace, Kai Deva, Zazzleen), dalam beberapa duet penuh tenaga dan harmoni, menambah warna serta kehangatan persembahan malam itu.

Beberapa kejutan lain turut dilakukan malam itu, antaranya kemunculan Ariel yang kali terakhir tampil di Kuala Lumpur bersama kumpulan Noah pada 2023, dan kehadirannya kali ini bagaikan hadiah istimewa daripada Rossa buat para peminat.

Kedua-dua bintang ternama Indonesia itu berduet menerusi Nada-Nada Cinta sebelum Ariel tampil solo membawakan versi baharu lagu Tegar dalam gaya lebih rancak. 

Selepas segmen penuh emosi, suasana pentas berubah 180 darjah dengan kemunculan DJ Dipha Barus dan MK Clique mempersembahkan lagu-lagu Rossa, antaranya Sakura dan Pudar serta Sinaran nyanyian asal Datuk Sheila Majid menjadi versi muzik disko yang lebih rancak dan bertenaga. 

Sebagai penutup, Rossa hadiahkan persembahan bertenaga Hey Ladies, lambang semangat kebersamaan wanita yang menjadi lagu ‘antigagal’ dalam menghangatkan suasana, meninggalkan kesan yang penuh tenaga dan inspirasi buat penonton. 

Yang membezakan konsert Here I Am di Kuala Lumpur dengan versi Indonesia bukan sahaja susunan lagu dan kemunculan tetamu istimewa, tetapi juga semangat perpaduan yang terjalin antara kedua-dua negara tetangga ini di atas satu pentas menerusi muzik. – Bernama

Tags: Hiburan

Continue Reading

Previous: Konsert Empat Live In KL 2025 gabungan Ziana, Anuar, Ernie, Syamel
Next: Lokasi konsert Krisdayanti ditukar ke PICC 

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.