
TANJUNG MANIS: Program Pengerami ‘Ngiling Bidai’ Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Rajang 2025 telah diadakan di Dewan Masyarakat Stalun, semalam.
Program tersebut dihadiri oleh Timbalan Menteri Perancangan Bandar, Pentadbiran Tanah dan Alam Sekitar yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Rajang, Datuk Len Talif Salleh.
Program Pengerami ‘Ngiling Bidai’ yang berlangsung di beberapa lokasi terpilih dalam kawasan DUN Kuala Rajang bermula pada 13 Jun dan dijadualkan berakhir pada 22 Jun ini.
“Setiap tahun, majlis sambutan tradisi masyarakat Iban seperti ini menjadi acara penting yang diraikan dengan penuh adat dan budaya. Ia bertujuan memupuk perpaduan komuniti serta melestarikan warisan nenek moyang agar terus dihargai oleh generasi akan datang.
“Ngiling Bidai bermaksud ‘menggulung tikar’, iaitu simbolik kepada penutupan rasmi sambutan Hari Gawai Dayak 2025 di kawasan ini,” katanya ketika dihubungi.
Tambah beliau, tradisi ini bukan sahaja mengangkat warisan budaya masyarakat Iban, malah memperkukuhkan hubungan kekeluargaan dan menyemai semangat harmoni dalam kalangan rakyat.
Beliau turut menzahirkan penghargaan kepada komuniti setempat serta semua pihak yang telah menjayakan program berkenaan.
“Keunikan dan kepelbagaian budaya merupakan aset penting bagi Sarawak. Program seperti ini perlu diteruskan sebagai jambatan yang mengukuhkan hubungan antara pemimpin dan rakyat.
“Semangat kebersamaan dalam meraikan kepelbagaian budaya adalah tunjang kekuatan Sarawak yang wajar terus dipelihara oleh semua lapisan masyarakat,” ujarnya.
Turut hadir Ahli Parlimen Tanjong Manis, Ir. Yusuf Abd Wahab.
Oleh Earl Anek