
SIBURAN: Majlis Gawai Dayak 2025 anjuran Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Zon 2 Sarawak berlangsung meriah di Dewan Serbaguna, Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Siburan, malam ini.
Majlis ini turut diserikan dengan kehadiran Ahli Parlimen Puncak Borneo, Datuk Willie Mongin selaku tetamu kehormat.
Ketibaan beliau disambut dengan persembahan Tarian Selamat Datang ‘Langgi Pingadap’, diikuti tarian menuai padi yang memukau para hadirin.
Sebanyak 15 gerai makanan tradisional etnik Bidayuh, Iban dan Sabah turut memeriahkan majlis, mencerminkan kepelbagaian budaya yang menjadi teras perpaduan masyarakat Sarawak.
Berucap pada majlis tersebut, Willie, berkata sambutan Gawai Dayak seumpama ini bukan sahaja meraikan warisan budaya, tetapi juga menjadi platform penting untuk merapatkan hubungan antara anggota bomba, keluarga dan komuniti setempat.
“Saya bersyukur kerana majlis ini bukan sekadar sambutan perayaan, malah menjadi landasan memperkukuh hubungan kekeluargaan dan semangat kebersamaan antara masyarakat dan pasukan bomba,” katanya.
Tegasnya lagi, perpaduan merupakan asas penting, terutama dalam negeri berbilang kaum seperti Sarawak.
“Melalui sambutan seperti ini, kita bukan sahaja mengekalkan keharmonian yang sedia ada, malah memperkukuh ikatan antara pelbagai etnik yang hidup aman damai bersama,” ujarnya.
Dalam perkembangan berkaitan, Willie menggesa Kerajaan Madani agar sentiasa menambah baik kelengkapan peralatan dan menjaga kebajikan anggota bomba yang berkhidmat di seluruh negara, khususnya di Sarawak.
“JBPM memainkan peranan yang sangat penting dalam memastikan keselamatan rakyat.
“Oleh itu, mereka perlu dilengkapi dengan peralatan yang moden, mencukupi dan sesuai dengan cabaran semasa.
“Kebajikan anggota juga harus diberi perhatian sewajarnya agar mereka dapat menjalankan tugas dengan lebih cekap, selamat dan bermotivasi tinggi,” tegasnya.
Willie turut merakamkan penghargaan kepada semua anggota bomba atas pengorbanan serta komitmen berterusan mereka dalam memikul amanah menjaga keselamatan masyarakat.
Turut hadir pada majlis tersebut ialah Pengarah JBPM Negeri Sarawak YS PKPjB Jamri Masran, pegawai kanan JBPM Zon 2 Sarawak, anggota bomba bersama keluarga serta penduduk setempat.
Oleh Norman B.