LINGGA: Projek Tebingan Sungai Lingga dijangka dapat menarik kedatangan lebih ramai pelancong luar ke dalam kawasan daerah kecil ini kata Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lingga, Simoi Peri.
Kata beliau, kedatangan lebih ramai pelancong ke kawasan ini dijangka kerana Tebingan Sungai Lingga bakal muncul sebagai salah satu kawasan tebingan sungai yang tercantik dalam negeri ini apabila ia sudah siap dilaksana kelak.
“Perlaksanaan Projek Fasa I Tebingan Sungai Lingga bernilai RM3.9 juta ini sudah pun mencapai status 23 peratus siap dan dijangka selesai sepenuhnya menjelang 6 Mei tahun hadapan.
“Apabila siap nanti, Tebingan Sungai Lingga bukan sahaja mampu menarik kedatangan lebih ramai pelancong malah turut menawarkan sejumlah tujuh unit kedai, tandas awam, Terubok Interaktif dan ‘Open Plaza Water Park’ kepada mereka di situ,” kata beliau.
Simoi turut memberitahu bahawa Projek Pembinaan Pembangunan Pusat Perkhidmatan Lingga juga masih sedang dalam perlaksanaan dengan status siapnya kini adalah 53 peratus.
Beliau yakin perlaksanaan kedua-dua projek tersebut secara tidak langsung akan mengubah landskap pembangunan kawasan Lingga dan seterusnya mengangkat status sosioekonomi penduduk di sini pada masa akan datang.
“Selain perlaksanaan kedua-dua projek itu, landskap pembangunan hidup penduduk juga bakal berubah apabila Kerajaan Sarawak sedang merancang untuk membina Jalan Lingga-Sebuyau di sini.
“Projek Jalan Lingga-Sebuyau berkenaan akan terus Kerajaan Sarawak laksanakan apabila proses reka bentuk serta penyediaan pampasan kepada pemilik tanah terlibat selesai dilakukan kelak,” kata beliau.
Justeru Simoi merakamkan penghargaan kepada Kerajaan Sarawak berhubung perlaksanaan projek-projek ini dan berharap agar ia boleh memberi impak pembangunan yang besar kepada penduduk Lingga pada masa akan datang.
Terdahulu Timbalan Ketua Menteri, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan baru-baru ini telah pun mengadakan lawatan ke tapak Projek Fasa I Tebingan Sungai Lingga dalam Pekan Lingga ini.
Beliau yang juga Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Terminal Perindustrian dan Pembangunan Usahawan sebelum itu juga turut mengadakan lawatan ke tapak Projek Industri Sri Aman yang terletak di Bandar Simanggang.
Turut sama menyertai lawatan ke tapak Projek Fasa I Tebingan Sungai Lingga ini adalah Menteri Muda Kesejahteraan Komuniti, Datuk Francis Harden Hollis, Residen Sri Aman, Indit Bangai, Pegawai Daerah Sri Aman, Mohd Ashree Wee dan Penguasa Jabatan Tanah dan Survei Sri Aman, Dorris Synia Anthony Collin.
Oleh Valentine Ngumbang