
IGAN: Projek pembinaan Jambatan Batang Igan mencatatkan kemajuan fizikal sebanyak 82.81 peratus setakat Jun 2025, melepasi sedikit daripada jadual asal iaitu 82.79 peratus.
Timbalan Menteri Pembangunan Infrastruktur dan Pelabuhan, Datuk Aidel Lariwoo berkata, pencapaian ini merupakan petunjuk positif terhadap kecekapan pengurusan projek serta komitmen kukuh daripada semua pihak yang terlibat.
“Walaupun perbezaannya kecil, ia tetap menunjukkan bahawa projek ini berada di landasan yang betul dan dilaksanakan mengikut jadual. Ia hasil kerjasama erat antara kontraktor, jurutera perunding, agensi kerajaan serta pemantauan berterusan oleh kementerian,” katanya selepas menghadiri sesi taklimat bersama kontraktor dan jurutera projek semalam.
Beliau turut menyatakan harapan agar momentum pelaksanaan projek itu dapat dikekalkan sehingga ia siap sepenuhnya Februari 2026 dan boleh digunakan sebelum sambutan Aidilfitri pada Mac 2026.

Beliau berkata projek itu bukan sahaja akan mempercepatkan akses antara kawasan pedalaman dan bandar, malah turut merancakkan aktiviti ekonomi penduduk di kawasan sekitar.
Jambatan Batang Igan yang bernilai RM285.5 juta itu dilihat sebagai pemangkin utama pembangunan sosioekonomi di kawasan tengah Sarawak, khususnya sekitar Kampung Igan dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Jemoreng.
Ia bakal meningkatkan akses antara kawasan pedalaman dan bandar, sekali gus membuka lebih banyak peluang ekonomi serta kemudahan kepada penduduk setempat. – UKAS