SIBU:Pengerusi Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) Cawangan Dudong, Wong Ching Yong
yakin Gabungan Parti Sarawak (GPS) akan memberi peluang kepada SUPP untuk bertanding di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Dudong pada Pilihan Raya Negeri Ke-12 (PRN-12) akan datang.
Menurutnya, tiada sebab mengapa GPS tidak memberi kerusi terbabit kepada mereka untuk ditandingi pada PRN-12.
“Kerusi DUN Dudong merupakan kerusi tradisi SUPP atas semangat GPS dan juga Barisan Nasional (BN) dahulu,” jelasnya kepada pemberita selepas majlis memasang papan tanda baharu SUPP Dudong di Jalan Aman, semalam.
Beliau turut memberitahu, Parti Demokratik Progresif (PDP) bebas untuk bertanding di kerusi DUN Dudong pada PRN-12.
“Ini adalah kerana Malaysia merupakan sebuah negara demokrasi dan semua bebas untuk bertanding,” ujarnya
Terdahulu, Wong ditanya mengenai minat PDP untuk bertanding di kerusi DUN Dudong pada PRN-12 akan datang, sebagaimana yang pernah disuarakan oleh Presiden PDP, Datuk Seri Tiong King Sing pada Majlis Pemimpin Bersama Rakyat di Sungai Durin, Jun tahun lepas.
PDP juga mengesyorkan Kaunselor Teo Boon Siew sebagai calon parti itu untuk diketengahkan di DUN Dudong. Selain Dudong, PDP juga berminat bertanding di DUN Bawang Assan dan Pelawan.
Katanya, jika ada pertukaran kerusi harus ada persetujuan antara kedua-dua parti memandangkan SUPP dan PDP merupakan parti dalam GPS.
Wong turut memberitahu beliau merupakan satu-satunya calon SUPP yang akan bertanding di kerusi DUN Dudong dan pusat parti SUPP juga tidak ada bantahan.
“Namun GPS masih belum membuat keputusan dan kita perlu pengesahan daripada GPS. Parti pusat SUPP tidak ada bantahan mengenai pencalonan saya.
“SUPP Dudong telah mencalonkan nama saya sebagai calon Dudong pada 30 Ogos 2019,” ujar lagi.
Menyentuh mengenai papan tanda baharu itu, Wong yang juga Timbalan Pengerusi Majlis Daerah Luar Bandar Sibu (MDLBS) berkata, ia dipasang bagi mengantikan papan tanda yang lama.
“Ini kerana tulisan pada papan tanda lama telah lusuh dan tidak mempunyai lambang GPS,” kata beliau.
Turut hadir ialah penasihat SUPP Dudong, Datuk Dr Soon Choon Teck, Timbalan Presiden II SUPP yang juga Pengerusi SUPP Bukit Assek, Datuk Chieng Buong Toon serta ahli-ahli parti yang lain.
Oleh Akun Giman