Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • SEMASA
  • Presiden Poland adakan lawatan rasmi tiga hari ke Malaysia
  • SEMASA

Presiden Poland adakan lawatan rasmi tiga hari ke Malaysia

Utusan Sarawak 17 hours ago
PRESIDEN Poland Andrzej Duda.

PUTRAJAYA: Presiden Poland Andrzej Duda akan mengadakan lawatan rasmi selama tiga hari ke Malaysia bermula hari ini bagi mengukuhkan hubungan dua hala dan meluaskan kerjasama sedia ada.

Lawatan itu yang merupakan kunjungan sulung beliau ke Malaysia sejak memegang jawatan pada Ogos 2015, berlangsung pada waktu yang bermakna bertepatan dengan Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN 2025 manakala Poland selaku Presiden Majlis Kesatuan Eropah (EU) bagi separuh pertama tahun yang sama.

Kementerian Luar Malaysia yang juga dikenali sebagai Wisma Putra dalam satu kenyataan pada Isnin memaklumkan bahawa Duda akan diiringi isterinya Agata Kornhauser-Duda semasa lawatan itu.

Presiden Poland itu akan diberikan sambutan rasmi di Kompleks Perdana Putra, Putrajaya pada Selasa diikuti dengan mesyuarat dua hala bersama Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Kedua-dua pemimpin dijangka membincangkan usaha memperkukuh kerjasama dua hala, termasuk bidang perdagangan dan pelaburan, industri pertahanan, pertanian, sektor halal dan agrokomoditi, menurut kenyataan itu.

Mereka juga dijangka bertukar pandangan mengenai perkembangan serantau dan antarabangsa yang menjadi kepentingan bersama, tambah kenyataan itu.

Perdana Menteri akan menghoskan majlis jamuan rasmi di Kompleks Seri Perdana sebagai menghormati Presiden dan delegasinya.

Menurut Wisma Putra, Duda turut dijadual mengadakan lawatan ke Rejimen Kedua Kor Armor Diraja di Kem Sunggala, Port Dickson serta menyampaikan syarahan umum di Institut Asia-Eropah, Universiti Malaya.

Lawatan itu melambangkan hubungan erat dan mesra antara Malaysia dan Poland yang berteraskan kepada prinsip saling menghormati serta kerjasama erat sejak terjalinnya hubungan diplomatik pada 1971.

Pada 2024, Poland merupakan rakan dagang kelapan terbesar Malaysia dalam kalangan negara anggota Kesatuan Eropah, dengan jumlah dagangan dua hala meningkat 19.5 peratus kepada RM5.66 bilion berbanding 2023.

Eksport utama Malaysia ke Poland merangkumi produk elektrik dan elektronik, produk getah serta jentera, manakala import utama dari Poland terdiri daripada jentera, peralatan dan alat ganti, produk elektrik dan elektronik serta kelengkapan pengangkutan.

-Bernama

Tags: SEMASA

Continue Reading

Previous: PM Anwar arahkan KPT selaras bantuan buat keluarga mangsa nahas di Gerik
Next: Sarawak rancang tubuh pusat rawatan jantung, kanser di setiap bandar utama

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.