SIMANGGANG: Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS) Sri Aman telah mengadakan Program Ziarah bagi peringkat fasa pertamanya dalam sekitar kawasan bandar ini pada pagi Selasa lepas.
Program yang turut disertai oleh Menteri Muda Kesejahteraan Komuniti, Datuk Francis Harden Hollis itu menyaksikan seramai 20 orang individu menerima bantuan makanan bernilai RM100 seorang hasil sumbangan pihak berkenaan.
Jurucakap penganjur memberitahu program ini adalah merupakan tanggungjawab sosial Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS) dengan objektif lainnya adalah untuk melakukan ‘Situational Analysis’ pasca COVID-19 di peringkat akar umbi.
Selain itu program berkenaan katanya juga bertujuan untuk mendapatkan input berhubung keadaan semasa peringkat akar umbi di samping menyantuni golongan sasar dengan pendekatan efisyen serta berkesan.
“Malah program tersebut juga merupakan salah satu langkah UKS untuk menyemai dan mempertingkatkan rasa muhibbah dalam kalangan ahli masyarakat melalui kerja-kerja amal.
“Justeru dengan adanya Program Ziarah tersebut maka pihak kami secara tidak langsung akan dapat membantu memperkukuhkan lagi hubungan dan semangat kekeluargaan dalam kalangan masyarakat di kawasan ini,” kata beliau.
Jurucakap penganjur tersebut juga turut menambah konsep peduli masyarakat ini juga penting kerana ia membolehkan pihaknya mengetahui keluhan masyarakat secara terus selain bersemuka dengan wakil rakyat atau agensi kerajaan di sini.
Turut hadir wakil Residen Bahagian Sri Aman, Faizal Asi, Pegawai UKAS Daerah Sri Aman, Juhara Jorni, Timbalan Walikota Majlis Daerah Sri Aman (MDSA), Kaunselor (Cr) Andar Suntai dan Ahli Majlis MDSA, Kr Denneil Saweng serta Kr Gerunsen Nyelang.