
PETRA JAYA: Penduduk di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) N.5 Demak Laut menerima manfaat sempena sambutan Aidiladha tahun ini menerusi pelaksanaan ibadah korban yang melibatkan penyembelihan sebanyak 41 ekor lembu.
Program anjuran bersama komuniti kampung, masjid, surau dan Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) kawasan tersebut dilaksanakan secara berperingkat selama dua hari bermula 10 Zulhijjah, bagi tujuan pengagihan kepada golongan asnaf dan penduduk setempat.
Sebanyak 17 ekor lembu dikorbankan pada hari pertama manakala baki 24 ekor lagi disempurnakan pada hari kedua.
Pelaksanaan program ini bukan sahaja mencerminkan kepatuhan umat Islam terhadap tuntutan agama, malah turut memperkukuh semangat gotong-royong serta keharmonian masyarakat setempat.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Demak Laut, Datuk Dr Hazland Abang Hipni turut turun padang meninjau beberapa lokasi pelaksanaan korban serta menyantuni penduduk yang terlibat.
“Saya amat menghargai usaha dan komitmen semua pihak yang memastikan kelancaran program ini, dari petugas masjid dan surau hingga kepada para sukarelawan.
“Lebih penting lagi, program ini memberi manfaat terus kepada mereka yang memerlukan, khususnya golongan asnaf dan penduduk kampung di kawasan DUN Demak Laut,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Dr Hazland turut menegaskan bahawa ibadah korban bukan sekadar ritual tahunan, sebaliknya membawa mesej pengorbanan, kasih sayang dan solidariti masyarakat yang wajar diteruskan sepanjang masa.
Oleh Amanda L.