KUCHING: One-Stop Early Intervention Centre (OSEIC) pertama dijangka akan beroperasi pada September 2020.
Menteri Kebajikan, Kesejahteraan Komuniti, Wanita, Keluarga dan Pembangunan Kanak-Kanak Dato Sri Fatimah Abdullah berkata, pengambilan pertama dijangka adalah seramai 70 orang kanak-kanak berkeperluan khas.
Menurutnya, Petroliam Nasional Berhad (PETRONAS) melalui Program Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR), telah memperuntukkan RM4 juta kepada Kerajaan Sarawak untuk mendirikan One-Stop Early Intervention Centre (OSEIC) di Metro City Matang.
“Pusat ini akan memberikan perkhidmatan diagnosis, intervensi dan sokongan di bawah satu bumbung, untuk kanak-kanak istimewa berumur 7 tahun ke bawah,” katanya pada sidang media Perpindahan Tempat Kerja Pengarah LPPKN dan Mesyuarat Jawatankuasa Penasihat One-Stop Early Intervention Centre (OSEIC) di Pejabat Kementerian KWKPKK, di sini, kelmarin.
Fatimah memberitahu, OSEIC akan memberi tumpuan kepada tiga jenis kecacatan iaitu autisme, sindrom down dan masalah pembelajaran sebagai permulaan.
Katanya lagi, dalam memastikan dasar pendidikan inklusif dilaksanakan, maka pusat ini berperanan dalam membuat pengesanan awal, melaksanakan langkah intervensi kepada kanak-kanak serta memberi sokongan kepada ibubapa atau penjaga.
“Kanak-kanak yang less severe seterusnya boleh ditempatkan bagi mengikuti pendidikan sekolah rendah dalam aliran Perdana, Integrasi atau Pendidikan Khas, manakala yang masih memerlukan bantuan, intervensi dan sokongan boleh terus mendapatkan perkhidmatan yang disediakan di OSEIC,” kata beliau.
Jelas Fatimah, objektif OSEIC adalah mengenal pasti kecacatan pada kanak-kanak pada peringkat awal, menyediakan program intervensi awal, mengajar dan membimbing anak-anak ini untuk berdikari dan menyediakan kanak-kanak untuk melangkah ke alam persekolahan
Beliau berkata, pusat ini akan terdiri daripada pejabat pengurusan, ruang pembelajaran, ruang pemulihan, bilik intervensi, klinik dan gimnasium.
Sementara itu, katanya, OSEIC akan dikendalikan oleh Persatuan Ibubapa Kanak-kanak Berkeperluan Khas (PIBAKAT), berdasarkan kedudukan kewangan, kepakaran dan pengalaman dalam menangani anak-anak istimewa.
“Pusat ini dipantau oleh Jawatankuasa Penasihat One-Stop Early Intervention Centre (OSEIC) yang diketuai oleh Kementerian,” jelasnya.
Ujarnya, dengan perkhidmatan tersebut yang ada di Sarawak, maka ibu bapa tidak perlu pergi ke Kuala Lumpur atau tempat-tempat lain di luar Sarawak bagi mendapatkan perkhidmatan intervensi dan sokongan kepada anak-anak ini.
Beliau berharap supaya lebih ramai ibubapa yang akan tampil untuk mendapatkan konsultasi, diagnosis, intervensi dan sokongan bagi anak-anak mereka yang berkeperluan khas.
Hadir sama Menteri Muda Wanita, Keluarga dan Pembangunan Kanak-Kanak, Rosey Yunus; Setiausaha Tetap Kementerian Kebajikan, Kesejahteraan Komuniti, Wanita, Keluarga dan Pembangunan Kanak-Kanak, Dr. Saadiah Binti Abdul Samat; Pengerusi PIBAKAT, Zaidi Ahmad dan Setiausaha PIBAKAT, Ng Kui Chou.
Oleh Cheryl Law