SHEILA ZAIDI
KUCHING : Sarawak merekodkan satu lagi kes kematian semalam menjadikan jumlah kematian di negeri ini sebanyak 14 kes.
Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak berkata mangsa kematian keempat belas itu merupakan seorang perempuan warga tempatan berumur 47 tahun dari Kuching.
“Mangsa mula mengalami batuk dan demam pada 2 April yang lalu dan dimasukkan ke Hospital Umum Sarawak (HUS) pada 8 April.
“Mangsa kemudiannya disahkan positif Covid-19 pada 10 April 2020 dan meninggal dunia semalam pada jam 7.36 pagi,” katanya kepada pemberita dalam satu kenyataan semalam.
Menurut JPBNS, punca jangkitan ke atas mangsa bagaimanapun masih dalam siasatan.
Sementara itu, katanya, tujuh lagi kes baharu positif Covid-19 dilaporkan semalam menjadikan jumlah bilangan kes di Sarawak sebanyak 341 kes sejak kes positif pertama dilaporkan pada 13 Mac 2020 dan kesemua tujuh kes tersebut sekarang sedang dirawat di HUS.
Manakala sebanyak 185 kes baharu Orang Yang Disyaki(PUI) dilaporkan menjadikan jumlah keseluruhan sebanyak 2,525 kes, katanya.
Daripada jumlah itu, 2,091 kes adalah negatif dan 93 kes PUI masih menunggu keputusan makmal, ujarnya.
Kuching merekodkan jumlah PUI tertinggi iaitu 156 kes diikuti Kota Samarahan 13, Bau (tujuh), Serian dan Miri masing-masing tiga, Betong, Kapit dan Bintulu pula masing-masing merekodkan seorang PUI.
“Terdapat penambahan seramai 41 rakyat Sarawak yang tiba dari luar negara, Semenanjung, Sabah dan Labuan menjadikan jumlah keseluruhan seramai 753 orang yang telah ditempatkan di Pusat Kuarantin sebagai Orang Di Bawah Pengawasan (PUS).
“Di Kuching, seramai 107 PUS ditempatkan di Hotel Hock Lee, 85 orang di Hotel Rajah Court Dormani dan 78 orang di Hotel Kuching Park,” kata beliau.
Sementara di Miri, 81 PUS ditempatkan di Hotel Mega, 45 di Hotel Somerset, 13 orang di Ostay Inn, 40 di Cosy Inn, 63 di Imperial Palace dan 13 orang di Eastwood Resort.
Manakala di Limbang, 88 PUS ditempatkan di Hotel Purnama dan di Bintulu pula 140 PUS di kuarantin di Hotel Park City Everly.