
SERIAN: Sebanyak 512 agihan daging korban melibatkan 26 buah kampung di Bahagian Serian telah diagihkan kepada golongan asnaf dan saudara baru sempena majlis sembelihan dan agihan daging korban pada sambutan Aidiladha peringkat Bahagian Serian tahun 2025.
Majlis berkenaan dianjurkan oleh Jawatankuasa Tetap Perayaan Islam Bahagian Serian dengan kerjasama Jawatankuasa Pengurusan (JKP) Masjid Darul Makmur Bahagian Serian.
Sebanyak enam ekor lembu dan dua ekor kambing telah ditumbangkan bagi menyempurnakan ibadah korban pada tahun ini.
Sumbangan haiwan korban terdiri daripada dua ekor lembu disumbangkan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Semuja, John Ilus, seekor lembu daripada Jawatankuasa Tetap Perayaan Islam Bahagian Serian manakala tiga ekor lembu dan dua ekor kambing adalah sumbangan individu.
John yang turut serta dalam program berkenaan diberikan penghormatan untuk menyempurnakan simbolik agihan daging korban kepada masyarakat Islam yang hadir.
Penganjuran program ini menggambarkan semangat gotong-royong dan perpaduan masyarakat Islam di Bahagian Serian sekali gus memperkukuhkan jalinan kerjasama antara agensi kerajaan, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan komuniti setempat.
Program ini bukan sahaja menzahirkan semangat keprihatinan dan kasih sayang sesama insan, malah memperkukuhkan jalinan ukhuwah antara masyarakat Islam di Bahagian Serian.
Dalam masa yang sama, ia juga menjadi platform penting dalam memastikan golongan yang memerlukan tidak terpinggir daripada nikmat perayaan Aidiladha.
-UKAS