
Presiden Prabowo Subianto (dua kanan) mengucapkan tahniah kepada pertahanan Indonesia Jay Noah Idzes selepas menentang China pada pusingan kelayakan Piala Dunia 2026 di Stadium Gelora Bung Karno. - AFP
JAKARTA: Pemain skuad bola sepak kebangsaan Indonesia mengunjungi kediaman Presiden, Prabowo Subianto di Kertanegara, Jakarta Selatan semalam dan mereka menerima hadiah istimewa daripada Prabowo iaitu jam tangan Rolex.
Menerusi laporan Detiknews, kelihatan seorang demi seorang pemain Indonesia masuk ke bas selepas selesai makan tengah hari bersama Prabowo dengan membawa beg hadiah.
Beg hadiah berwarna itu tertera tulisan berwarna emas ‘The Time Place’.
“Ya, hadiah ini daripada Presiden. Saya belum membukanya,” kata kapten skuad Garuda, Jay Idzes.
Idzes turut menyampaikan terima kasih atas jemputan makan tengah hari itu yang disifatkan berjalan dengan meriah.
“Kami makan tengah hari bersama. Selepas kemenangan sebelum ini, Presiden ini meraikannya bersama. Jadi kami rasa ini sebagai satu penghormatan atas jemputan ke kediaman rasminya,” katanya.
Pengerusi Persatuan Sepak Bola Seluruh Indonesia (PSSI), Erick Thohir ketika ditanya bagaimanapun tidak mengetahui mengenai hadiah itu.
“Saya kurang tahu,” kata Erick.
Berdasarkan perkongsian menerusi Instagram Justin Hubner, pemain Indonesia tampak membuka kotak berwarna hijau yang di dalamnya mengandungi jam Rolex.
Kemenangan 1-0 ke atas China menyaksikan mereka layak ke pusingan keempat Kelayakan Piala Dunia 2026 Zon Asia. – AGENSI