KYLIAN Mbappe akan diketepikan selama “sekitar tiga minggu” setelah terseliuh pergelangan kaki semasa final Piala Perancis, kemungkinan akan terlepas perlwanan suku akhir Liga Juara-Juara UEFA, Paris Saint-Germain menentang Atalanta pada 13 Ogos.
Penyerang antarabangsa Perancis itu terhincut-hincut meninggalkan padang dalam separuh pertama kemenangan 1-0 Jumaat lepas ke atas Saint-Etienne setelah terjahan mengerikan yang menghasilkan kad merah untuk kapten lawan, Loic Perrin.
Paris SG berkata pengimejan perubatan pada hari Selasa telah mengesahkan hasil ujian awal pergelangan kaki kanan yang terseliuh, dengan Mbappe juga mengalami kerosakan ligamen.
Kelab membayangkan jangka masa yang diharapkan untuk kembali pulih adalah “sekitar tiga minggu”, yang bermaksud dia akan terlepas pada final Piala Liga Perancis hari Sabtu menentang Lyon.
Diagnosis itu juga menjadikan Mbappe diragui untuk perlawanan Liga Juara-Juara, Paris SG, walaupun pemain berusia 21 tahun itu dapat kembali jika pasukan Thomas Tuchel mara ke peringkat separuh akhir.
Peringkat terakhir pertandingan utama bola sepak kelab Eropah akan dimainkan dalam kejohanan kalah mati yang unik di Lisbon kerana kesukaran yang disebabkan oleh wabak Covid-19.
Paris SG menentang Atalanta akan menjadi perlawanan suku akhir pertama kejohanan mini ‘Final Eight’ di Estadio da Luz, dengan separuh akhir dirancangkan pada 19-20 Ogos dan final yang akan diadakan pada 24 Ogos. – AFP