
LONG LAMA: Sambutan Aidiladha di Long Lama tahun ini sekali lagi mencerminkan semangat muhibbah dan perpaduan masyarakat majmuk apabila diraikan bersama oleh pelbagai kaum dan agama.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Telang Usan, Dato Dennis Ngau, memuji usaha penganjur terutama Pengerusi Masjid, Dato Abu Bakar Abdullah @ Tom Belarek dalam mengadakan program seumpama ini setiap tahun.
Menurut beliau, program seperti ini bukan sahaja menyatupadukan masyarakat dan memupuk persefahaman antara agama, malah mencerminkan nilai keharmonian antara semua kaum di daerah pedalaman Telang Usan.
“Inilah keunikan masyarakat kita di Telang Usan, khususnya Long Lama – semangat kerjasama yang tinggi menjadikan kerja yang berat terasa ringan,” katanya ketika berucap ringkas dalam majlis yang berlangsung di Masjid Darussalam Long Lama, hari ini.
Selain umat Islam, program turut mendapat sokongan dan penyertaan daripada saudara-mara berlainan agama, sekali gus memperkukuh hubungan silaturahim antara masyarakat berbilang kaum.
Dalam majlis berasingan, Dato Dennis turut meluangkan masa hadir ke program Kempen Derma Darah yang diadakan di Dewan SJKC Kee Tee, Long Lama.
Seramai lebih 20 individu telah tampil menjayakan kempen anjuran bersama Pertubuhan Pendidikan Akhlak Ji Ze Ge Long dan Pertubuhan Agama Buddha Long Lama, dengan kerjasama Bulan Sabit Merah Malaysia (BSMM) Miri.
Kempen ini bertujuan membantu menambah bekalan darah di Hospital Umum Miri serta memupuk semangat keprihatinan dalam kalangan masyarakat.
Sebagai tanda penghargaan, setiap penderma menerima sekampit beras Ratu Huma seberat 5 kilogram daripada pihak penganjur. -UKAS