
SELANGAU: Semangat perpaduan dan keharmonian antara kaum di Sarawak terus diperkukuh menerusi kunjungan sempena sambutan Hari Gawai Dayak 2025 oleh rombongan Persatuan Kaum Cina Kapit bersama Persatuan Cina Selangau ke Rumah Panjang Simond di Ulu Dijih, dekat sini, baru-baru ini.
Kunjungan tersebut bukan sahaja mencerminkan keharmonian antara kaum malah turut memperlihatkan sokongan masyarakat pelbagai kaum terhadap sambutan tradisi masyarakat Dayak yang menjadi warisan penting negeri ini.
Rombongan yang diketuai Kapitan Selangau, Ah Seng, disambut meriah oleh penduduk rumah panjang tersebut termasuk Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tamin, Christopher Gira Sambang.
Mengulas mengenai lawatan itu, Gira menyifatkannya sebagai simbolik kepada keharmonian dan hubungan erat antara masyarakat berbilang kaum di negeri ini khususnya dalam meraikan perayaan berteraskan budaya seperti Gawai Dayak.
“Kehadiran ahli masyarakat Cina dari Kapit dan Selangau amat bermakna dalam menjayakan sambutan Gawai Dayak.
“Ia menunjukkan semangat saling hormat-menghormati, kebaikan dan kebersamaan yang telah lama menjadi teras perpaduan kita di Sarawak,” katanya menerusi satu hantaran di laman Facebook.
Beliau turut merakamkan penghargaan atas keprihatinan serta sokongan berterusan masyarakat Cina dalam memperkasakan kesejahteraan rakyat, khususnya di kawasan Tamin.
Menurut Gira, sambutan Gawai Dayak kini bukan sahaja diraikan oleh masyarakat Dayak malah mendapat penyertaan pelbagai etnik, menjadikan festival itu satu platform terbaik untuk memupuk semangat ‘Anak Sarawak’ yang bersatu dalam kepelbagaian.
“Inilah keunikan Sarawak, di mana kita meraikan perbezaan dengan penuh hormat dan kasih sayang.
“Saya yakin dengan semangat seperti ini, negeri kita akan terus makmur dan bersatu,” tambahnya.
Oleh Tarani Lanting