

KEJADIAN tanah runtuh yang berlaku di kawasan belakang Rumah Panjang Jelukong, Lubok Antu dekat sini semalam. Foto APM Lubok Antu
LUBOK ANTU: Empat bilik di Rumah Panjang Jelukong telah terjejas berikutan runtuhan tanah yang berlaku di kawasan belakang rumah panjang terbabit, semalam.
Pegawai Angkatan Pertahanan Awam (APM) Daerah Lubok Antu, Leftenan Desem Samuel berkata pihaknya telah menerima panggilan daripada seorang pengadu berhubung kejadian tersebut sekitar 9.20 malam.
“Setelah menerima panggilan daripada orang awam, seramai tiga anggota APM Lubok Antu telah bergegas ke lokasi kejadian seperti yang dilaporkan oleh pengadu mengenai kejadian tanah runtuh di Rumah Panjang Jelukong.
“Setibanya di lokasi, didapati benar bahawa tanah runtuh telah berlaku di bahagian belakang rumah panjang tersebut.
“Kejadian tanah runtuh ini dipercayai berpunca daripada kerja-kerja pembinaan yang dijalankan oleh kontraktor sejak beberapa bulan yang lalu serta faktor hujan lebat yang berterusan sepanjang malam,” katanya.
Desem berkata sebanyak empat buah bilik telah terjejas impak daripada kejadian tanah runtuh itu.
“Tanah runtuh ini berpotensi membahayakan keselamatan penduduk kampung sekiranya hujan lebat berterusan.
“Pita amaran keselamatan telah dipasang di kawasan berisiko bagi memberi peringatan kepada penduduk supaya sentiasa berhati-hati dan peka terhadap keadaan sekeliling. Setakat ini, keadaan di lokasi kejadian masih dalam keadaan selamat dan terkawal,” jelasnya.
Desem menambah APM menasihati kepada semua penduduk agar bersiap sedia dengan segala kemungkinan ini, dan sentiasa peka dengan amaran hujan yang akan menyebabkan tanah runtuh terjadi lagi.
Oleh Adi Safarman