
LIMBANG: Persiapan Limbang sebagai tuan rumah sambutan Perayaan Hari Keputeraan Rasmi Yang di-Pertuan Agong ke-17 Peringkat Sarawak 2025, yang akan diadakan di Limbang bermula 11 hingga 15 Jun ini, kini berjalan lancar.
Timbalan Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah, Datuk Dr Abdul Rahman Ismail berkata orang ramai termasuk pengunjung dari Kepulauan Borneo termasuk Sabah, Wilayah Persekutuan Labuan dan negara jiran Brunei dijangka akan memeriahkan sambutan program tersebut minggu hadapan.
Menurutnya, pelbagai program bakal diadakan termasuk Pameran Diraja, Limbang Kitchen, Limbang Idol dan program menarik yang lain.
“Segala persiapan telah dilakukan dengan sangat mantap. Kita bersedia untuk mengadakan pelbagai aktiviti termasuk Limbang Idol, Limbang Kitchen, Pameran Diraja dan banyak lagi. Saya menggesa media untuk mempromosikan acara ini.
“Saya juga mengalu-alukan kehadiran pengunjung dari negara jiran bagi meraikan Hari Keputeraan Yang di-Pertuan Agong,” katanya ketika ditemui semasa mengadakan lawatan kerja ke Tapak Projek Tebingan Sungai Limbang dan Projek Jalan Akses Ke Taman Tasik Bukit Mas hari ini.
Program utama yang diadakan termasuk Majlis Kesyukuran Agama-Agama Lain di Dewan Suarah pada 11 Jun, Pameran Diraja bermula 12 hingga 15 Jun di Dewan Suarah Limbang, Khutbah Khas di seluruh masjid di Sarawak pada 13 Jun, Majlis Kesyukuran di Masjid Jannatul Firdaus Limbang pada 13 Jun bermula 6.00 petang dan Majlis Jamuan Teh di Dewan Suarah pada 14 Jun ini.
Yang di-Pertua Negeri, Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar dan Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg akan hadir memeriahkan majlis itu.
Oleh Adeng Edrus