Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • BISNES
  • Petronas akan mengurangkan lebih 5,000 pekerja, keuntungan terus merosot
  • BISNES

Petronas akan mengurangkan lebih 5,000 pekerja, keuntungan terus merosot

Utusan Sarawak 2 days ago

Presiden dan CEO kumpulan Petronas, Tengku Muhammad Taufik Aziz

KUALA LUMPUR: Petroliam Nasional Bhd (Petronas) bakal mengurangkan 10 peratus daripada tenaga kerjanya dalam mendepani cabaran operasi yang sukar terutamanya disebabkan kejatuhan harga minyak mentah.

Presiden merangkap Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Tan Sri Tengku Muhammad Taufik Tengku Aziz berkata bilangan kakitangan yang terlibat dalam proses pengurangan itu berjumlah kira-kira 5,000 orang dan mereka yang terbabit akan dimaklumkan menjelang akhir tahun ini.

“Petronas 2.0 akan diuruskan secara berbeza, dikelolakan secara berbeza, akan mempunyai proses kerja berbeza, dan bagi mencapai matlamat itu kita perlu mengemaskan proses kerja,” katanya pada taklimat media, di sini, hari ini.

Tengku Muhammad Taufik berkata kumpulan itu menyasarkan operasi yang lebih kecil dan tangkas walaupun harga minyak mencecah paras tertinggi AS$100 setong (AS$1 = RM4.23).

Menurutnya, berdasarkan keadaan sebelum ini apabila lapangan minyak mengecil, margin keuntungan sebelum cukai syarikat itu adalah pada kira-kira 35 hingga 40 peratus.

“Hari ini ia berada (antara) 25 dan 38 peratus. Margin ini akan terus menyusut lagi dan lapangan minyak akan menjadi lebih kecil. Jadi nilai tambah (Petronas) 2.0 perlu mengubahnya kepada organisasi yang menjana keuntungan secara komersial dan kompetitif, bukan sahaja di dalam negara, tetapi juga di luar negara,” katanya. 

Anggaran peruntukan perbelanjaan Petronas adalah berdasarkan minyak Brent pada sekitar AS$75 (RM318.41) hingga AS$80 setong.

Minyak penanda aras global itu kini didagangkan hampir AS$65, turun kira-kira 13 peratus tahun ini, berikutan ketegangan perdagangan yang menjejaskan pertumbuhan global serta usaha OPEC+ untuk memulihkan pengeluaran.

Pada tahun kewangan berakhir 31 Dis, 2024, Petronas mencatatkan keuntungan bersih sebanyak RM55.1 bilion, turun 31.7 peratus daripada RM80.7 bilion setahun sebelumnya berikutan purata harga direalisasi yang lebih rendah dan pelarasan cukai pada 2023.

Sementara itu, mengenai Petroleum Sarawak Bhd (Petros), Tengku Muhammad Taufik berkata Petronas tetap terbuka untuk mengadakan perbincangan berterusan berhubung peranannya di negeri itu.

Pada 21 Mei, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg menandatangani Deklarasi Bersama yang menyatakan bahawa Petronas akan terus memenuhi fungsi, aktiviti, tanggungjawab dan kewajipannya seperti yang diamanatkan di bawah Akta Pembangunan Petroleum 1974 (PDA 1974) dan peraturan berkaitan.

Pejabat Perdana Menteri (PMO) berkata prinsip asas telah dipersetujui untuk memudahkan rundingan lanjut antara Petronas dan Petros.

Deklarasi Bersama itu memperakui kedua-dua undang-undang Persekutuan dan Negeri, status perjanjian sedia ada, dan penubuhan rangka kerja kerjasama antara Petronas dan Petros.

Menurut Deklarasi Bersama, kerajaan negeri Sarawak telah melantik Petros sebagai agregator gas berkuat kuasa 1 Mac, 2025.

Selain itu, kedua-dua Petronas dan Petros akan mengadakan perbincangan untuk tujuan meluaskan kerjasama perniagaan bagi keperluan gas Sarawak di beberapa kawasan.– BERNAMA

Continue Reading

Previous: Pusat makanan berkonsep keluarga – Anjung Tris Family Foodcourt daya tarikan baharu
Next: Ringgit dibuka tinggi berbanding dolar AS

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.