
BETONG: Sebanyak tujuh ekor lembu sumbangan pihak Lembaga Khairat Dan Amanah Melayu Betong (LKAMB) akan disembelih bagi menunaikan ibadah korban sempena sambutan Aidiladha yang akan menjelang beberapa hari lagi.
Urusetia LKAMB, Mazidi Katang memberitahu pihaknya telah bersetuju untuk menyumbang lembu kepada masing-masing lima buah surau, kampung dan Taman perumahan dalam kawasan kampung Melayu Betong bagi sambutan perayaan pada tahun ini.
“Sumbangan lembu ini adalah amanah yang kita laksanakan berikutan kemampuan pihak LKAMB memberi haiwan yang merupakan keperluan dalam pelaksanaan ibadah korban bagi umat Islam bersempena dengan perayaan Aidiladha yang akan datang.
“Sebagai sebuah badan yang telah diamanahkan untuk menjalankan pengurusan kebajikan penduduk Melayu Betong dan kebajikan masjid dan surau, LKAMB berusaha untuk memberikan yang terbaik kepada kariah demi amanah dan tanggungjawab,” katanya semasa menyambut ketibaan lembu oleh pembekal yang dilantik di Tebingan Sungai Kampung Melayu Betong dekat sini hari ini.

Tambahnya, sumbangan tersebut masing-masing kepada Surau Dakwah Kampung Tengah Betong, Surau Damai Kampung Hilir Betong, Surau Darul Taqwa Kampung Baru Hulu Betong, Surau Setia Kampung Baru Hilir Betong, Surau Darussalam Kampung Melayu Passa Betong, Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Kampung Masjid Betong dan Perumahan Bebanggai Fasa 1 dan 2.
“Setelah kita berjaya menurunkan ketujuh ekor lembu ini yang diterima daripada pihak pembekal, semua tanggungjawab mengurus dan melaksanakan apa jua program adalah tanggungan pihak yang diberi.
“Jika mereka nak melaksanakan ibadah korban ia terpulang kepada pengurusan masing-masing dan amanah yang dijalankan oleh telah selesai setakat ini,” jelasnya.
Turut hadir pada aktiviti tersebut ialah Penghulu Kampung Melayu Betong, Abang Suhailie Abang Pay, ketua-ketua kampung, pengerusi surau serta jawatankuasa terlibat.
Oleh Adi Safarman