
KUALA LUMPUR: Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim dan Raja Permaisuri Agong Raja Zarith Sofiah berkenan berangkat menghadiri Majlis Jamuan Teh Diraja di Istana Negara di sini hari ini.
Majlis itu merupakan acara diatur khas bersempena Ulang Tahun Hari Keputeraan Rasmi Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim.
Berangkat sama pada majlis yang diadakan di Dewan Santapan Utama itu anakanda Seri Paduka Baginda berdua Tunku Temenggong Johor Tunku Idris Iskandar, Tunku Panglima Johor Tunku Abdul Rahman, Tunku Putera Johor Tunku Abu Bakar serta Tunku Tun Aminah Maimunah Iskandariah dan suami Datuk Dennis Muhammad Abdullah.

Majlis yang bermula pada 3.00 petang itu turut dihadiri Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan isteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, selain kira-kira 1,200 tetamu termasuk menteri Kabinet, Ahli Parlimen, duta, perwakilan asing ke Malaysia dan ketua-ketua jabatan kerajaan.
Hadir sama Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil dan isteri Datin Azrina Puteri Mohamed Mahyuddin serta Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi Datuk Mohamad Fauzi Md Isa dan isteri Datin Nik Noralhuda Nik Mohamed.
Majlis itu turut dihadiri pemimpin masyarakat Orang Asli, tokoh guru, atlet Olimpik dan Paralimpik, bekas polis dan tentera, seniman negara selain pelajar yang bakal melanjutkan pengajian ke Harvard.
Tayangan video Istiadat Pengurniaan Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat Persekutuan 2025 bersempena dengan Ulang Tahun Hari Keputeraan Rasmi Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim di Istana Negara pada Isnin lepas menerusi skrin di dalam Dewan Santapan Utama antara pengisian majlis hari ini, di samping persembahan orkestra oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).
Terdahulu, lagu Negaraku dimainkan sebaik sahaja keberangkatan tiba Sultan Ibrahim dan Raja Zarith Sofiah diikuti bacaan doa.
Majlis diakhiri dengan acara memotong kek berbentuk replika gerbang Istana Negara oleh Seri Paduka Baginda.
Sultan Ibrahim dan Raja Zarith Sofiah turut berkenan meluangkan masa bersalaman, beramah mesra dan berswafoto dengan tetamu jemputan.
-Bernama