Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • HIBURAN
  • AIM24 kembali tampil tiga kategori baharu
  • HIBURAN

AIM24 kembali tampil tiga kategori baharu

Utusan Sarawak 3 days ago
PENGERUSI Jawatankuasa Pengelola Recording Industry Malaysia (RIM) dan Anugerah Industri Muzik AIM24, Rosmin Hashim (dua, kanan) dan Pengarah Bahagian Program TV, Radio Televisyen Malaysia (RTM), Reza Sariman Othman (tiga, kiri) bergambar bersama trofi AIM24 pada sidang media AIM24 di Bukit Kiara Equestrian, hari ini.

KUALA LUMPUR: Edisi ke-24 Anugerah Industri Muzik (AIM) yang kembali dianjurkan, menampilkan tiga kategori baharu yang mencerminkan kepelbagaian dan perkembangan muzik tanah air.

Pengerusi Persatuan Industri Rakaman Malaysia (RIM) yang juga Pengerusi Jawatankuasa Penganjur AIM24, Rosmin Hashim berkata tiga kategori baharu itu ialah Lagu Perpaduan Terbaik, Lagu Tradisional Terbaik dan Kolaborasi Artis Tempatan Bersama Artis/Komposer Luar Negara Terbaik.

Beliau berkata penambahan kategori itu bagi menghargai karya muzik yang membawa mesej perpaduan, memelihara warisan budaya muzik tradisional serta mengiktiraf kerjasama kreatif yang melangkaui sempadan negara.

“AIM adalah satu-satunya acara anugerah anjuran industri muzik Malaysia sendiri yang memberi pengiktirafan kepada penggiat utama industri muzik tanah air,” katanya kepada pemberita pada Sidang Media Pelancaran AIM24 di Dewan Berjaya, Bukit Kiara Equestrian & Country Resort, di sini hari ini.

Rosmin berkata acara berprestij yang akan berlangsung pada 13 September depan di Arena of Stars, Genting Highlands itu melibatkan 31 kategori anugerah untuk lagu dan album dalam bahasa Malaysia, Inggeris, Cina dan India yang dikeluarkan dari 1 Julai 2022 hingga 31 Disember 2024.

Sementara itu, beliau berkata kerajaan juga telah meningkatkan insentif kepada pemenang utama anugerah itu menerusi Dana Kandungan Kreatif (DKK) di bawah Kementerian Komunikasi, iaitu sebanyak RM700,000 kepada 11 pemenang berbanding RM320,000 kepada empat pemenang pada AIM sebelum ini.

“RTM juga akan menjadi penyiar rasmi AIM24 yang akan disiarkan secara langsung menerusi saluran TV2 dan RTM Klik,” katanya.

Kategori yang dipertandingkan termasuk Artis Baharu Terbaik, Vokal Lelaki Terbaik, Vokal Wanita Terbaik, Vokal Kumpulan Terbaik, Kugiran Terbaik, Vokal Duo/Kolaborasi Terbaik serta Video Muzik Terbaik. Turut dipertandingkan ialah Runut Bunyi Terbaik dalam filem atau drama, Lagu Rock, Pop, Rap/Hip Hop, Pop Elektronik/Dance terbaik serta lagu terbaik dalam bahasa Inggeris, Cina dan India.

Kategori lain, Lagu Melayu Terbaik yang dipersembahkan oleh artis luar negara, Kolaborasi Artis Tempatan bersama Artis atau Komposer Luar Negara Terbaik, Lagu Nasyid Terbaik, Lagu Etnik Terbaik, Lagu Perpaduan Terbaik, Lagu Tradisional Terbaik, Album Terbaik dan Lagu Terbaik.

Selain itu, satu Anugerah Khas Sri Wirama akan turut diberikan di samping lapan kategori praanugerah meliputi Kulit Single/Album Terbaik, Rakaman Album Terbaik, Rakaman Lagu Terbaik, Susunan Muzik Terbaik dalam Lagu, Lagu Paling Tinggi di Strim, Video Muzik Rasmi Paling Tinggi Ditonton di YouTube dan Lagu Paling Tinggi Ditonton di TikTok.

“Pencalonan dibuka bermula hari ini hingga 4 Julai 2025, dan semua pencalonan perlu dihantar secara dalam talian menerusi laman rasmi www.aim1.org.my,” katanya. – Bernama

Tags: Hiburan

Continue Reading

Previous: Aurelia Syaharani tampil berani dengan Mungkin Hanya Kamu
Next: Jessie J dedah hidap kanser payudara peringkat awal

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.