
LONDON: Malaysia menyasarkan ketibaan 500,000 pelancong dari United Kingdom (UK) sempena Tahun Melawat Malaysia 2026 (TMM2026), kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
Beliau berkata jumlah itu dapat dicapai berdasarkan kedatangan pelancong dari negara berkenaan pada empat bulan pertama tahun ini, yang menunjukkan peningkatan memberangsangkan dan beliau yakin jumlah berkenaan terus meningkat.
“Saya berpuas hati dengan usaha dijalankan Tourism Malaysia di London ini khususnya, hasrat untuk memperoleh 500,000 pelancong dari United Kingdom (UK) ini saya yakin akan dapat dicapai,” katanya pada sidang media selepas melancarkan TMM2026 di sini, semalam.
Terdahulu, Ahmad Zahid menghadiri Sesi Meja Bulat Pelancongan bersama pemain industri pelancongan di UK.
Pada sesi meja bulat itu, beliau berkata terdapat cadangan pengenalan pakej khas kepada pelancong yang menaiki penerbangan Malaysia dengan menawarkan insentif stopover untuk mereka singgah dan menikmati pengalaman di Kuala Lumpur atau mana-mana destinasi di Semenanjung.
“Saya telah bersetuju untuk membawa perkara ini kepada Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya dan membawa kepada Kabinet untuk kita mohon supaya pakej ini dapat dilaksanakan menjelang 2026.
“Malaysia Airlines pernah memberikan pakej sama satu ketika dahulu, ia cukup berjaya dan mungkin saranan diberikan oleh pengurus Malaysia Airlines di London ini boleh kita realisasikan,” katanya.
Terdahulu, dalam ucapannya Ahmad Zahid berkata pada 2024, Malaysia mencatatkan 390,035 kedatangan pelancong dari UK yang menyumbang kepada lebih RM2.5 bilion daripada hasil perbelanjaan pelancong.
Beliau berkata Malaysia juga telah meluluskan 103 laluan antarabangsa baharu, 29 kekerapan tambahan dan lima penerbangan carter.
“Semuanya sebagai persiapan TMM2026. Saya percaya laluan ini bukan sekadar infrastruktur tetapi juga pintu kepada pelbagai peluang sama ada untuk pelancong, pengendali mahupun pelabur,” katanya.
-Bernama