

LOKASI KEJADIAN… Remaja perempuan dikhuatiri lemas di Sungai Katibas, Song dalam Bahagian Kapit. Foto JBPM
SONG: Seorang remaja perempuan berusia 13 tahun dikhuatiri lemas selepas mandi di Sungai Katibas berhampiran Rumah Robert, Nanga Bajor di sini, petang tadi.
Menurut Pusat Gerakan Operasi (PGO), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu sekitar 5.28 petang.
Susulan itu, sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Song digerakkan ke lokasi kejadian yang terletak sekitar 23 kilometer dari balai.
“Komander Operasi PBK I (TBK I) Hansil Boniface memaklumkan mangsa, Puteri Nazatul Akmal Zulkarnain, dikhuatiri lemas semasa mandi di sungai bersama abang dan tiga rakan lain,” kata kenyataan itu.
Sebaik tiba di lokasi pada 5.52 petang, pasukan bomba bersama penduduk kampung melaksanakan pencarian awal dengan menyusuri tebing sungai sejauh 100 meter ke arah hulu dan hilir.
Bagaimanapun, pencarian tersebut tidak menemui sebarang petunjuk berkaitan mangsa.
Setelah berbincang dengan pihak polis dan keluarga, operasi ditangguhkan pada 6.30 petang dan akan disambung semula pagi esok.
Oleh Tarani Lanting