

DUA peraduan istimewa hasil kerjasama RWMF2025 dengan Malaysia Airlines (MAS) dan Proton.
KUCHING: Festival Muzik Hutan Hujan Sedunia 2025 (RWMF2025) menawarkan pelbagai hadiah menarik kepada peminat melalui dua peraduan istimewa hasil kerjasama dengan Malaysia Airlines (MAS) dan Proton.
Peraduan pertama, ‘RWMF Flyaway Contest’, dianjurkan bersama Malaysia Airlines, menyediakan peluang untuk memenangi pakej perjalanan lengkap ke RWMF 2025.
Hadiah termasuk dua tiket pergi balik ke Kuching, penginapan selama tiga hari dua malam di hotel bertaraf lima bintang, dan pas masuk ke festival.
Peraduan tersebut terbuka kepada semua yang membeli tiket MAS ke Kuching dari mana-mana destinasi domestik atau antarabangsa antara 28 Mei hingga 12 Jun 2025.
Sementara itu, Proton turut menganjurkan peraduan khas yang mana pengunjung RWMF 2025 berpeluang memenangi sebuah kereta Proton X50 serba baharu.
Untuk menyertai, peserta hanya perlu melengkapkan borang penyertaan dan mengunjungi reruai Proton sepanjang tiga hari festival tersebut dari 28 hingga 30 Jun 2025 di Kampung Budaya Sarawak, Santubong.
Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah, berkata inisiatif ini bukan sahaja meningkatkan keterujaan pengunjung tetapi juga mempromosikan pelancongan domestik dan antarabangsa ke Sarawak.
“Kerjasama dengan rakan-rakan strategik seperti MAS dan Proton memberi nilai tambah kepada pengalaman pengunjung, menjadikan RWMF bukan sekadar acara muzik tetapi juga satu destinasi pelancongan bertaraf dunia,” katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan semalam.
Tiket untuk RWMF 2025 kini boleh didapati melalui laman web rasmi www.rwmf.net.
Pengunjung digalakkan mendapatkan tiket lebih awal kerana tempat adalah terhad.
RWMF 2025 menjanjikan barisan pemuzik tempatan dan antarabangsa yang memukau, pelbagai aktiviti kebudayaan, serta pengalaman festival yang mesra alam, selaras dengan aspirasi Sarawak sebagai destinasi pelancongan lestari.