
SIMUNJAN: Pembinaan rumah Persekutuan Perkumpulan Wanita Sarawak (PPWS) di Kampung Tanjung Pisang kini dalam perancangan dan bakal direalisasikan dalam masa terdekat.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Simunjan, Awla Dris berkata, pembinaan rumah PPWS adalah satu keperluan penting bagi memperkasa komuniti, khususnya kaum wanita agar mereka dapat memainkan peranan lebih aktif dalam pembangunan sosioekonomi di peringkat kampung.
“Pembinaan rumah PPWS ini sangat perlu kerana ia bukan sahaja akan menjadi tempat untuk menjalankan pelbagai aktiviti wanita malah akan turut dimanfaatkan oleh komuniti setempat sebagai pusat kegiatan kemasyarakatan,” ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika berucap sempena Majlis Penutupan Sukaneka dan Perlawanan Futsal Kampung Tanjung Pisang yang berlangsung semalam.

Program berkenaan merupakan anjuran bersama PPWS, Pergerakan Wanita Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), serta Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Kampung Tanjung Pisang.
Tambah beliau lagi, rumah tersebut dijangka dapat menjadi platform untuk merancang dan melaksanakan pelbagai program yang mampu menjana pendapatan seperti bengkel kemahiran, program keusahawanan serta aktiviti koperasi komuniti.
Dalam pada itu, beliau turut merakamkan penghargaan kepada gabungan Badan Bukan Kerajaan (NGO) seperti PPWS dan Pergerakan Wanita PBB yang bersama-sama dengan JKKK berjaya menganjurkan program sukaneka dan futsal dengan jayanya.
“Saya amat menghargai usaha murni NGO dan komuniti kampung yang bergabung tenaga menganjurkan program ini.
“Ia bukan sahaja menjimatkan perbelanjaan melalui kerjasama pintar, malah memperkukuhkan hubungan silaturahim antara penduduk,” ujarnya.
Antara pengisian menarik sepanjang program ialah pertandingan futsal, sukaneka rakyat, penyampaian hadiah, pertandingan karaoke serta cabutan bertuah yang dinantikan ramai.
Majlis turut diserikan dengan persembahan poco-poco dan nyanyian karaoke oleh ahli-ahli PPWS serta penduduk kampung sekali gus menambahkan kemeriahan dan semangat kekitaan dalam kalangan peserta.