

MUSNAH… Rumah didiami mangsa musnah keseluruhan dalam kejadian di Jalan Sibiew Bintulu awal pagi Ahad. Foto JBPM
BINTULU: Seorang lelaki maut dalam kebakaran sebuah rumah di Jalan Sibiew di sini dalam kejadian awal pagi tadi.
Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak memaklumkan, mangsa dikenali sebagai Wong Jun Din lingkungan usia 50-an disahkan meninggal dunia dalam kejadian berlaku 2.32 pagi.
“Mangsa dipercayai terperangkap dan berjaya dikeluarkan oleh penghuni lain dalam keadaan tidak sedarkan diri serta terdapat kesan melecur di seluruh badan.
“Mangsa disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan Kementerian Kesihatan di lokasi,” katanya dalam kenyataan hari ini, manakala tiga penghuni lain dilaporkan selamat.
Operasi pemadaman kebakaran rumah tersebut dilakukan oleh sepasukan Bomba dari BBP Bintulu.
Dalam kejadian itu, rumah didiami mangsa musnah keseluruhan.
Punca kebakaran dan jumlah kerugian masih dalam siasatan pihak forensik bomba.
Oleh Liong Chai Ling