
KUCHING: Pasukan bomba dan polis berjaya menyelamatkan seorang lelaki dewasa warga Indonesia yang dipercayai cuba membunuh diri di atas bumbung sebuah premis di MJC Batu Kawa, pagi tadi.
Pusat Gerakan Operasi (PGO) Bomba menerima panggilan kecemasan berhubung insiden itu pada 8.14 pagi sebelum sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Batu Lintang digerakkan ke lokasi kejadian di Kedai Green Store, Blok AA, MJC Batu Kawa, sejauh kira-kira lapan kilometer.
Setibanya di lokasi pada 8.23 pagi, pasukan penyelamat mendapati seorang lelaki berada di atas bumbung bangunan dan dipercayai dalam keadaan tertekan.
Menurut Komander Operasi, PBK I Awang Saifull, usaha memujuk mangsa dilakukan secara bersama oleh pihak bomba dan polis, sebelum lelaki berkenaan akhirnya berjaya ditangkap serta dibawa turun dengan selamat dari bangunan berkenaan sekitar 10.18 pagi.
Difahamkan, lelaki tersebut yang berumur dalam lingkungan 30-an, turut dikenal pasti sebagai warganegara Indonesia.
Siasatan turut mendapati bahawa panggilan pertama berhubung insiden sama telah diterima lebih awal sekitar 3.40 pagi, namun ketika pasukan kecemasan tiba, mangsa tidak berada di lokasi.
Mangsa kemudiannya diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut. Operasi ditamatkan sepenuhnya pada 10.24 pagi setelah keadaan disahkan selamat.
Oleh Amanda L.