SERIAN: Projek pembinaan saluran paip memberi impak besar kepada penduduk di Kampung Merakai.
Menurut kenyataan semalam, Kampung Merakai yang terletak di seberang Sungai Senyabah Gedong, Serian, mempunyai populasi penduduk seramai 445 orang.
Sebelum projek pembinaan saluran paip ini dilaksanakan, penduduk di kampung ini hanya mendapatkan bekalan air melalui sumber air hujan.
Kerajaan Sarawak melalui Kementerian Utiliti Sarawak dan Jabatan Bekalan Air Luar Bandar (JBALB) Sarawak sebagai agensi pelaksana bergabung tenaga dalam merancang dan merangka satu projek untuk menangani isu bekalan air ini.
Justeru, projek pembinaan saluran paip ke Kampung Merakai Serian mendapat perhatian dan kelulusan Kerajaan Sarawak.
Ini membolehkan projek tersebut dapat dilaksanakan dengan kos projek adalah sekitar RM5 juta dan siap dilaksanakan pada 15 Disember 2019.
Projek yang dibiayai sepenuhnya oleh Kerajaan Sarawak ini merangkumi pembinaan saluran paip jenis 250 milimeter (mm) diameter ductile iron (DI) dan 225 mm diameter Paip Ketumpatan Tinggi Polyethylene (HDPE) dari Simpang Ladang Gedong ke Kampung Merakai dan pemasangan paip komunikasi.
Projek ini telah memberi impak besar kepada penduduk di Kampung Merakai termasuk 55 kakitangan dan pelajar di Sekolah Kebangsaan (SK) Merakai, Serian.
Kini, penduduk di Kampung Merakai menikmati bekalan air yang lebih baik dari keadaan sebelumnya atas hasil usaha berterusan dan komitmen tinggi Kerajaan Sarawak melalui Kementerian Utiliti Sarawak dan JBALB Bahagian Serian.
Oleh Diyana Samsuddin