KABONG: Pergerakan Wanita Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) N.40 Kabong meneruskan usaha turun padang bagi mendampingi golongan kurang berkemampuan dan warga emas dengan menghulurkan bantuan sewajarnya.
Pemangku Ketua Wanita PBB N.40 Kabong, Normah Ahmadi berkata sumbangan yang diberikan berdasarkan bentuk keperluan mereka, sama ada sumbangan barangan makanan dan keperluan harian.
Beliau berkata pendekatan seumpama itu mampu merapatkan lagi hubungan baik dan penyertaan holistik ahli parti PBB di peringkat akar umbi dalam kerja amal dan kemasyarakatan dengan penduduk di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kabong.
“Pergerakan Wanita PBB N.40 Kabong sentiasa turun padang mendengar masalah dan membantu golongan tua dan penduduk miskin di kampung-kampung dan rumah panjang di kawasan DUN Kabong.
“Pihak kita sejak minggu lalu telah memulakan program melalui ‘Ziarah Kasih: Kita Sayang’ yang diilhamkan oleh isteri Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kabong, Mohd Chee Kadir dengan menyasarkan golongan emas untuk diberi sumbangan,” ujarnya.
Normah berkata seramai 120 warga emas di sekitar kawasan DUN Kabong disantuni dari rumah ke rumah dengan menghulurkan sedikit sumbangan berupa barangan keperluan harian kepada golongan itu sebagai tanda ingatan kasih sayang daripada pemimpin mereka.
“Program yang diilhamkan sendiri oleh isteri ADUN Kabong, Meryani Yasin itu juga sebagai platform untuk membantu dan mendekati masyarakat serta melihat masalah mereka dan cuba membantu dalam apa juga cara yang termampu dilakukan.
“Pada masa yang sama melalui program ini juga merupakan saluran untuk menyebarkan maklumat kepada rakyat mengenai pelbagai bantuan dan skim bantuan yang disediakan kerajaan negeri, selain merapatkan lagi jurang di antara pemimpin dengan rakyat secara amnya,” tegasnya.
Beliau berkata pelbagai usaha dilakukan pihaknya untuk mendekati lebih ramai golongan miskin yang memerlukan termasuk golongan kurang bernasib baik.
Susulan daripada program melalui ‘Ziarah Kasih: Kita Sayang’ itu, pihaknya akan terus menumpukan golongan yang kurang berkemampuan seperti menyantuni golongan orang kurang upaya (OKU) pelbagai peringkat umur.
“Seramai 250 golongan OKU di DUN Kabong akan dibantu melalui program yang akan dijalankan oleh Pergerakan Pemuda PBB N.40 Kabong dalam masa terdekat ini.
“Sebahagian senarai penerima bantuan ini, adalah penerima bantuan bulanan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Daerah Saratok,” jelasnya.
“Pastinya, Pergerakan Wanita dan Pemuda PBB Cawangan Kabong juga mengambil peluang dan ruang untuk memperkuatkan jentera parti PBB bagi menghadapi pilihan raya negeri Ke-12 (PRN-12) yang akan datang,” ujar Normah.
Oleh Adi Safarman