
BEKENU: Penduduk Rumah Panjang Tuai Rumah (Tr) Lingu Jilan di Pakut, Sibuti telah siap menyediakan pelbagai keperluan bagi menyambut perayaan Gawai Dayak yang akan bermula tengah malam ini.
Tinjauan Utusan Sarawak di rumah panjang tersebut hari ini mendapati kaum wanita sedang sibuk menyiapkan pelbagai jenis ketupat yang akan digunakan dalam upacara miring pada petang ini.
Difahamkan bahawa selesai miring nanti akan diadakan makan beramai-ramai di ruai masing-masing sekitar 4.00 petang dengan persembahan hiburan.
Sementara itu, pada tengah malam nanti, satu lagi acara kemeriahan yang menjadi tradisi wajib setiap tahun sempena Gawai ialah upacara minum ‘ai pengayu’.
Bagi masyarakat Iban, salah satu ritual pada sambutan Gawai ialah minum ai pengayu, iaitu tuak yang diperbuatdaripada beras dan ragi.
Ai pengayu merupakan tuak yang dicampurkan dalam satu tempayan besar hasil sumbangkan oleh setiap pintu di rumah panjang di sini.
Ai pengayu diminum sebagai permohonan untuk panjang umur dan kesihatan daripada Petara (tuhan dalam kepercayaan pagan), iaitu ‘Salampandai’ yang dipercayai sebagai pemberi kehidupan kepada manusia.
Sempena Gawai di sini, ramai penduduk telah mula bercuti, dan anak-anak yang bekerja di bandar turut pulang ke kampung halaman untuk bersama keluarga.
Oleh Adum Liu